PN akan bincang logo PRN Sabah

Ronald pada Majlis Sambutan 6 Ogos Hari Peladang, Penternak & Nelayan dan Penyerahan Peruntukan PRE di Menara LPP, hari ini. - Foto Asril Aswandi Abd Shukor
Ronald pada Majlis Sambutan 6 Ogos Hari Peladang, Penternak & Nelayan dan Penyerahan Peruntukan PRE di Menara LPP, hari ini. - Foto Asril Aswandi Abd Shukor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu penggunaan logo atau lambang rasmi yang akan diguna pakai oleh Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijangka dibincangkan dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan semua parti politik dalam gabungan PN.

"Kita harap perbincangan itu nanti akan dapat mencapai satu kata sepakat atau persetujuan politik bersama.

"Ia juga sebagai persediaan untuk PN berdepan parti lawan yang ada di Sabah," katanya kepada pemberita selepas ditanya apakah terdapat kemungkinan PN akan menggunakan satu logo sahaja pada PRN Sabah nanti.

Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan dan Penyerahan Peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Menara LPP, di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Khairuddin Daud dilaporkan memberi saranan kepada Parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.

Menurutnya, penggunaan logo Warisan wajar sebagai menunjukkan kesatuan dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Warisan dalam menghadapi PRN berkenaan.

Dalam perkembangan lain, ketika mengulas berhubung kenyataan Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sabah, Phoong Jin Zhe yang meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan rakyat Sabah yang belajar dan bekerja di Semenanjung Malaysia untuk mengundi pos dan tidak perlu pulang ke Sabah kerana kos penerbangan yang tinggi, Ronald berkata, perkara itu adalah di bawah bidang kuasa SPR.

Artikel Berkaitan:

"Ia terserah kepada SPR," katanya.