X

Kindly register in order to view this article
!

Rasuah: Bekas polis dijel 14 tahun, denda RM70,000

Shamsul Sharul (kanan) diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuju ke Mahkamah Sesyen 2 Alor Setar untuk dituduh pada hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Seorang bekas koperal polis dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM13,000 tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Shamsul Shahrul Samsudin, 38, mengaku bersalah atas dua tuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Bagi pertuduhan pertama, pada 16 Jun 2013, Shamsul Shahrul yang bertugas sebagai koperal di Bahagian Siasatan Jenayah Narkortik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menerima suapan RM7,500 daripada seorang wanita di sebuah kedai di Alor Setar.

Wang itu diterima sebagai dorongan melepaskan dan menurunkan seksyen pertuduhan daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap suami wanita tersebut.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh menerima suapan RM5,500 daripada wanita sama di hadapan sebuah mesin pengeluaran wang automatik pada 26 Julai 2013 pada jam 1.03 tengah hari sebagai dorongan melepaskan dan menurunkan seksyen pertuduhan daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap suaminya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan itu serius kerana salah guna kuasa sebagai penjawat awam di IPK Kedah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya hukuman penjara dan dendanya diringankan kerana perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.

Selepas mempertimbangkan semua faktor, Murtazadi menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM40,000 atau penjara setahun jika gagal membayar denda bagi tuduhan pertama.

Bagi tuduhan kedua pula, Shamsul Shahrul dijatuhkan hukuman enam tahun penjara dan denda RM30,000 atau penjara setahun jika gagal membayarnya.

Kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak bermula hari ini.

"Mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah selain mempunyai ayah yang uzur dan perlu dijaga namun mahkamah tidak boleh simpati," kata Murtazadi sebelum menjatuhkan hukuman tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!