PN tidak akan laksana pilihan raya kerajaan tempatan: Zuraida

ZURAIDA
ZURAIDA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana masyarakat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) belum bersedia untuk melaksanakan perkara tersebut.

"Kerajaan PN tidak akan laksanakan pilihan raya kerajaan tempatan, yang saya juga lihat (ia) satu perkara drastik.

"Masyarakat dan PBT kita tak bersedia," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang bertanyakan sama ada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia untuk menjemput komuniti atau persatuan tertentu menghadiri mesyuarat PBT sebagai pemerhati dalam usaha untuk menyemarakkan lagi sistem demokrasi.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Zuraida turut memberitahu sebahagian besar PBT di seluruh negara tidak menaikkan cukai taksiran sejak hampir 20 tahun.

Katanya, keadaan itu menyebabkan PBT menghadapi masalah kekurangan dana sekali gus mengehadkan pelaksanaan pembangunan di kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan: