X

Kindly register in order to view this article
!

Nusa Baiduri guna khidmat pengosongan perangkap FOG IWK

Perjanjian perkhidmatan pengosongan sistem perangkap FOG ditandatangani oleh Narendran (kanan) dan Shamsul Fahmi (dua dari kiri) yang disaksikan oleh Ahmad Masrizal (tengah) berlangsung di Republik Damansara Heights dekat Kuala Lumpur semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menandatangani perjanjian perkhidmatan pengosongan perangkap lemak, minyak dan gris (FOG) dengan Nusa Baiduri Sdn Bhd yang bertanggungjawab menyelenggara bangunan komersial Republik Damansara Heights di sini semalam.

Perjanjian tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam dan Pengarah Urusan Nusa Baiduri Sdn Bhd, Shamsul Fahmi Mohamad Padzli yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.

Ahmad Masrizal berkata, perjanjian itu menyaksikan IWK bakal menyediakan perkhidmatan pengosongan untuk tempoh tiga tahun untuk premis Republik Damansara Heights.

Menurutnya, premis berkenaan menjadi pemain industri terawal menyahut seruan kerajaan untuk menggunakan perkhidmatan pengosongan sistem perangkap gris daripada IWK.

“Harapan saya agar lebih banyak perniagaan khususnya industri makanan menggunakan perkhidmatan ini bagi mengatasi masalah paip pembetungan tersumbat kesan sisa FOG yang turut menyebabkan pencemaran air.

“Saya dimaklumkan hampir 20,000 paip pembetungan awam tersumbat sepanjang Mac hingga Jun lalu yang sebahagian besarnya disebabkan FOG sehingga mengakibatkan IWK terpaksa mengeluarkan peruntukan yang besar untuk kos pembersihan tersebut,” katanya di sini semalam.

Operator IWK melaksanakan kerja pengosongan sistem perangkap FOG di Republik Damansara Heights, Kuala Lumpur semalam.
Operator IWK melaksanakan kerja pengosongan sistem perangkap FOG di Republik Damansara Heights, Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Pengerusi Nusa Baiduri Sdn Bhd, Datuk Sulaiman Abu Bakar.

Pelancaran perkhidmatan pengosongan perangkap FOG itu telah disempurnakan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada bulan lalu.

Ahmad Masrizal berkata, perkhidmatan yang disediakan IWK itu adalah salah satu usaha penting bagi memastikan pembuangan sisa FOG diuruskan dengan betul selari dengan matlamat kelestarian alam sekitar.

“Kadangkala apabila tarif IWK diletakkan begitu minimum, orang awam mengambil mudah aspek pengurusan sisa hingga menyebabkan pihak kerajaan terpaksa menanggung bebanan menampung kos penyelenggaraan.

“Tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama dan bukannya terletak di bahu kerajaan semata-mata.

“Kita tidak boleh memandang remeh kepentingan penjagaan alam sekitar kerana kesannya akan memudaratkan kita semua,” kata beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!