Kuasa mengundi mampu undang rasuah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dalam sebuah negara demokrasi, setiap rakyat memiliki kuasa untuk mengundi namun dengan kuasa yang ada ia mampu mengundang rasuah.

Justeru, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan, rakyat sebagai pengundi terdedah kepada rasuah kerana undi mereka menentukan menang atau kalah seseorang calon.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, tujuan memberi kuasa memilih kepada rakyat ialah supaya rakyat dapat memilih calon yang terbaik yang akan mendirikan kerajaan yang prihatin terhadap masalah rakyat.

Menurutnya, apabila kerajaan terdiri daripada orang yang baik iaitu tidak menerima rasuah maka negara akan maju dan pengundi akan dapat banyak nikmat apabila segala urusan dengan kerajaan menjadi mudah, kos akan berkurangan dan masa tidak dibazirkan.

"Tetapi (bagi) orang yang ingin merebut kuasa kerajaan untuk kepentingan diri sendiri akan melihat pemilihan wakil rakyat sebagai cara untuk mendapat kuasa kerajaan melalui rasuah.

"Sepatutnya pengundi tidak akan undi calon yang tidak baik jika mereka tahu calon itu tidak baik. Tetapi jika calon tidak baik menghulur wang, besar kemungkinan ramai pengundi ketepikan pentadbiran yang baik dan kemajuan negara.

"Mereka akan terima sogokan. Setelah menerima sogokan, mereka akan beri undi kepada penyogok. Lebih banyak wang yang didapati lebih bersedialah pengundi memberi undi kepada perasuah," tulis Dr Mahathir di Facebooknya hari ini.

Katanya, pencuri dan perasuah dapat mendirikan kerajaan dan mungkin juga mereka dibiayai oleh orang tertentu yang merancang untuk merebut kuasa kerajaan untuk kepentingan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Bagi calon yang berduit, sama ada duit sendiri atau yang dipinjam atau dicuri, ramailah yang akan menyogok pengundi dan besar kemungkinan calon yang menggunakan wang sogokan akan menang.

"Dengan kerajaan dikuasai perasuah, kepentingan negara dan rakyat akan diketepikan. Jika rakyat menentang kerajaan perasuah ini, maka rakyat pun akan disogok dengan wang kerajaan.

"Demikian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dicipta dan berbagai pemberian wang percuma diadakan," katanya.

Dr Mahathir berkata, dalam masyarakat yang anggap rasuah sebagai jenayah kecil, kesediaan menerima sogokan akan menghilangkan tentangan terhadap kerajaan yang buruk.

Sehubungan itu, beliau berkata, dana untuk pengurusan dan pembangunan akan berkurangan kerana digunakan untuk sogokan sehingga negara terpaksa berhutang dan menanggung beban pembayaran dan faedah.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, infrastruktur juga tidak dapat dibina dan taraf hidup rakyat akan menurun.

Baginya, negara perasuah tidak akan menarik pelabur dan peniaga kerana rasuah meningkatkan kos dan melewatkan kelulusan.

"Tanpa pelaburan, peluang pekerjaan akan berkurangan. Kemiskinan akan bertambah dan negara tidak akan membangun.

"Rakyat terpaksa bergantung kepada kerajaan untuk kehidupan mereka. Malangnya kerajaan pula kekurangan dana kerana jumlah cukai berkurangan akibat kemerosotan ekonomi.

"Rakyat seperti ini tidak dapat menyumbang kepada pertumbuhan negara. Maka lagi miskinlah negara," katanya.