X

Kindly register in order to view this article
!

Pesara rugi RM1.84 juta diperdaya Macau Scam

Gambar hiasan (Gambar kecil: Anbalagan)
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang pesara berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM1.84 juta lesap selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Bukan sahaja semua wang simpanan termasuk dari akaun Tabung Haji, wang pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB), semua unit saham, malah wang peninggalan arwah ibu dan barang kemasnya dijual untuk diserahkan kepada sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kejadian berlaku selepas wanita berusia 75 tahun berasal dari Bukit Jambul di sini mendakwa menerima panggilan dari Pusat Khidmat Pelanggan Pos Malaysia memaklumkan terdapat bungkusan atas namanya yang mengandungi satu kad pengenalan dan lapan keping kad bank pada 18 Mei lalu.

"Bungkusan itu untuk dihantar kepada seorang lelaki dari Kepong ke Kota Kinabalu. Wanita itu menafikan hal tersebut dan memaklumkan dia tidak kenal penerima bungkusan berkenaan.

"Bagaimanapun pemanggil terbabit menasihatkannya untuk segera membuat laporan polis di IPK Sabah untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa seterusnya menerima panggilan daripada tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dari IPK Sabah dan dimaklumkan namanya terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta.

"Selain terlibat dengan pengubahan wang haram, nama mangsa juga dikatakan digunakan untuk membuka beberapa akaun bank.

"Untuk tujuan siasatan, mangsa diarahkan sentiasa lapor kedudukannya setiap dua jam kepada pegawai polis berkenaan selain tidak dibenarkan bercerita berkenaan kes ini dengan sesiapa," katanya.

Katanya, disebabkan takut, pesara sebuah badan berkanun itu mengikuti semua arahan diberikan sindiket termasuk memberikan semua maklumat akaun bank kononnya untuk siasatan Bank Negara.

"Kesemua akaun wanita itu dikatakan akan dibekukan Bank Negara dan dia diminta untuk dipindahkan semua wangnya ke dalam satu akaun bank yang diberikan.

"Mangsa mengeluarkan semua wang simpanannya termasuk dari akaun Tabung Haji, wang pelaburan ASB, wang pusaka peninggalan arwah ibunya selain semua unit saham miliknya.

"Daripada keterangan mangsa, pada 23 Jun, dia memasukkan cek berjumlah RM790,000 ke sebuah akaun syarikat Enterprise dan selang tiga hari kemudian dia memasukkan lagi dua cek berjumlah RM650,000 kepada sebuah syarikat pembinaan," katanya.

Anbalagan berkata, sindiket itu kemudiannya meminta wanita itu membayar wang bon RM1 juta untuk wang jaminan dan memaklumkan dia akan direman sekiranya gagal berbuat demikian.

"Mangsa terpaksa menjual semua barang kemasnya dan meminjam wang daripada adik-beradik sebelum memasukkan cek bernilai RM400,000 ke dalam akaun diberikan suspek pada 13 dan 22 Julai lalu," katanya.

Menurutnya, sindiket berkenaan turut mengarahkan wanita itu untuk menyelesaikan baki pembayaran bon berkenaan segera menyebabkan mangsa terpaksa meminta pertolongan dengan anaknya yang berada di Kuala Lumpur.

"Anaknya berasa hairan selepas wanita itu meminta wang daripadanya sedangkan ibunya itu sebelum ini mempunyai wang yang mencukupi.

"Selepas menceritakan perkara sebenarnya, anaknya itu memaklumkan yang dia telah terpedaya dengan sindiket Macau Scam dan meminta ibunya segera membuat laporan polis," katanya.

Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada Selasa lalu dan kes berkenaan kini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!