Semua pegawai kendali gudang jalani tahanan rumah

Kira-kira 300,000 orang hilang tempat tinggal berikutan dua letupan berlaku di Beirut pada Selasa lalu. - Foto AFP
Kira-kira 300,000 orang hilang tempat tinggal berikutan dua letupan berlaku di Beirut pada Selasa lalu. - Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Kerajaan Lubnan semalam menyatakan semua pegawai yang mengendalikan gudang menyimpan ammonium nitrat sehingga menyebabkan dua letupan di sebuah pelabuhan di Beirut diletakkan dalam tahanan rumah.

"Kami meminta kepimpinan ketenteraan untuk melaksanakan tahanan rumah kepada semua yang mengendalikan penyimpanan ammonium nitrat di pelabuhan Beirut," kata Menteri Penerangan, Manal Abdel Samad.

Letupan itu mengakibatkan 135 orang terbunuh manakala ribuan lagi hilang menyebabkan beliau mengumumkan darurat selama dua minggu berkuatkuasa serta-merta.

ARTIKEL BERKAITAN: Beirut diisytihar darurat selama dua minggu

Bahan yang tidak berbau dan berhablur itu selalunya digunakan sebagai baja menyebabkan beberapa letupan industri selama berdekad-dekad termasuk dua letupan di Beirut.

Pasukan keselamatan menyatakan kekuatan letupan hasil daripada ammonium nitrat itu adalah sama dengan sekurang-kurangnya 1,200 tan TNT sekali gus menyebabkan banyak kemusnahan berlaku umpama kejadian gempa bumi sehingga mengakibatkan 300,000 orang hilang tempat tinggal.

Pada tahun 2013, kira-kira 2,750 tan ammonium nitrat datang ke Lubnan menggunakan kapal MV Rhosus yang belayar dari Georgia ke Mozambique, kata seorang pegawai keselamatan kepada AFP.

ARTIKEL BERKAITAN: Letupan di Beirut berpunca daripada ammonium nitrat

Artikel Berkaitan:

Artikel Penuh: 73 terkorban, 3,700 cedera dalam letupan di Beirut

Sebuah platform bagi mengesan kedudukan kapal, Marine Traffic berkata, kapal yang berdaftar di Moldova itu pertama kali tiba di pelabuhan Beirut pada 20 November 2013 dan kemudian tidak pernah meninggalkannya.

Menurut firma undang-undang Baroudi & Associates yang mewakili kru kapal tersebut, MV Rhosus didapati mengalami masalah teknikal dan selepas melakukan pemeriksaan pihak berkuasa pelabuhan, ia dilarang belayar.

Beberapa pegawai keselamatan memberitahu AFP, kapal tersebut mendarat di pelabuhan berkenaan tetapi kemudian dirampas pihak berkuasa berikutan satu tuntutan undang-undang yang difailkan sebuah syarikat Lubnan ke atas pemilik MV Rhosus.

Pihak berkuasa kemudian memindahkan ammonium nitrat dan menyimpannya di sebuah gudang yang mempunyai rekahan pada dinding manakala kapal tersebut karam kerana mengalami kerosakan, kata beberapa pegawai.

Bau yang ganjil dapat dihidu di gudang tersebut menyebabkan pihak berkuasa melaksanakan satu siasatan pada tahun 2019 yang berkata, bahan kimia 'berbahaya' itu perlu dipindahkan daripada premis tersebut.

Pihak berkuasa juga mengambil maklum bahawa gudang tersebut tidak berada dalam keadaan baik sekali gus menggesa pihak berkuasa pelabuhan melakukan kerja-kerja pembaikan.

Sehinggalah pada minggu ini, para pekerja mula melakukan kerja-kerja pembaikan yang dipercayai menyebabkan dua letupan itu berlaku. - Agensi