Mior teruja dapat uji jentera Formula Renault

Mior diberikan panduan dan nasihat semasa sesi terbuka SIC.
Mior diberikan panduan dan nasihat semasa sesi terbuka SIC.
A
A
A

IMPIAN menjadi kenyataan buat penyandang juara eRacing Grand Prix Asia Tenggara, Mior Muhammad Hafiz selepas mendapat peluang menguji jentera Formula Renault yang merangkumi casis Tatuus serta enjin 2.0L Renault Clio dalam sesi terbuka di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Mior terpaksa menunggu untuk meraih ganjaran itu berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) yang menjejaskan semua penganjuran acara sukan negara walaupun memenangi pertandingan eRacing serantau pertama September lalu.

Keputusan SIC meneruskan kembali operasinya pada bulan lalu dengan sesi ujian secara terbuka dan tertutup memberi keceriaan buat Mior.

Pelumba berusia 32 tahun itu amat teruja sekali untuk menikmati ganjaran daripada kejayaannya apabila buat pertama kali dapat menguji jentera Formula Renault oleh Axle Motorsport menerusi kerjasama dengan pasukan berpangkalan di Hong Kong, Black Arts Racing yang juga juara Kejohanan Formula 3 Asia.

“Ini pengalaman yang cukup menakjubkan untuk saya menguji sendiri jentera Formula Renault. Semua ini tidak akan menjadi kenyataan jika bukan kerana Axle Motorsport, khususnya Alex Yoong serta Black Arts Racing dan saya berterima kasih kepada mereka untuk peluang ini.

Mior teruja apabila pertama kali dapat menguji jentera Formula Renault.
Mior teruja apabila pertama kali dapat menguji jentera Formula Renault.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada barisan penaja Maybank, JD Sport dan UMobile kerana terus memberikan sokongan sekaligus memberikan lebih semangat kepada saya untuk mencapai lebih banyak kejayaan di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Axle Motorsport, Alex Yoong memuji pencapaian diraih pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami amat berbesar hati melihat kemajuan besar dicapai Mior dan dia amat memerlukan peluang ini. Axle Motorsport begitu gembira memberikannya kesempatan menguji jentera Formula Renault menerusi tunjuk ajar profesional diberikan rakan kami di Black Arts Racing.

“Inilah yang sentiasa kami lakukan di Axle Motorsport, selain memberikan platform kepada untuk mencari bakat baharu dan membangunkan potensi pelumba, kami juga menghargai mereka dengan segala kerja keras serta dedikasi yang diberikan,” katanya.