Pak Wan kayuh basikal 11 hari untuk sambut merdeka

Wan Hashim Wan Mahmood
Wan Hashim Wan Mahmood
A
A
A

KOTA BHARU - Sambutan Hari Kemerdekaan pastinya menjadi detik terindah rakyat Malaysia kerana bebas daripada penjajahan.

Maka tidak hairanlah Wan Hashim Wan Mahmood atau Pak Wan sanggup mengayuh basikal selama 11 hari dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur untuk melihat sendiri perbarisan pada sambutan Hari Merdeka.

Menceritakan detik bersejarah itu, Pak Wan yang dikenali sebagai 'otai' pengayuh basikal yang kini berusia 74 tahun memberitahu, ia adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan dan menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya dalam setiap misi kayuhannya.

Pada tahun 1960 itu, beliau baru berumur 14 tahun namun tidak mematahkan semangatnya untuk bersama-sama 14 rakan lain berkayuh sejauh 500 kilometer dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

"Pak Wan dapat tahu ada satu kumpulan basikal mahu ke Stadium Merdeka untuk menyambut Hari Kemerdekaan di sana. Mereka semua lebih tua daripada Pak Wan.

"Pak Wan pun menyatakan hasrat untuk ikut bersama tetapi tidak diendahkan kerana Pak Wan paling muda. Mereka risau kerana kita tiada pengalaman dan akan menyusahkan kumpulan itu," katanya ketika ditemui media semalam.

Bagaimanapun Pak Wan tetap berdegil dan mereka bersetuju.

"Seramai 14 orang berkayuh dari Kota Bharu tetapi apabila tiba di Jerteh, Pak Wan pusing belakang, tiada siapa yang tinggal. Hanya Pak Wan dan seorang rakan kerana yang lain sudah berada di depan.

Artikel Berkaitan:

"Rakan Pak Wan pada mulanya mahu berpatah balik tetapi bersetuju meneruskan kayuhan kerana mahu menemani Pak Wan," katanya.

Menurut Pak Wan, dalam tempoh itu mereka terpaksa berkayuh dalam hujan, panas dan ribut selain keletihan tetapi tetap meneruskan kayuhan sehinggalah sampai ke Kuala Lumpur sehari sebelum merdeka.

Anak sulung 13 beradik itu juga tidak kisah melalui jalan berbukit, laluan sehala dan pelbagai rintangan untuk sampai ke Stadium Merdeka.

Pak Wan berkata, pada hari perbarisan tersebut, beliau antara puluhan ribu rakyat Malaysia yang berdiri sejak subuh lagi di depan Dataran Merdeka untuk melihat perbarisan anggota keselamatan dan kenderaan rasmi kerajaan.

"Pak Wan bersemangat untuk melihat kereta kebal, kereta perisai dan pelbagai lagi. Memang itulah yang menjadi fokus utama Pak Wan selain mendengar sendiri laungan 'merdeka' daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

"Pak Wan tidak dapat gambarkan perasaan ketika melihat Tunku melaungkan 'merdeka' sayu, sedih, gembira, semua bercampur. Masa itulah Pak Wan sedar betapa susahnya kita untuk merdeka.

"Selepas tamat sambutan itu dengan berbekalkan RM100 sejak tiba di sana, Pak Wan masih tinggal di Kuala Lumpur selama seminggu sebelum bertolak balik ke Kelantan dengan menaiki kereta api dari Port Klang.

"Walaupun ia pengalaman yang tidak bergambar, divideokan, namun ia tetap kekal di ingatan Pak Wan sampai bila-bila dan menjadi bahan cerita kepada anak-anak dan cucu Pak Wan," katanya.

Ketika ditanya mengenai dorongan sepanjang kayuhan, Pak Wan memberitahu, dia menetapkan satu fokus iaitu untuk mencapai apa yang dihajati ketika itu.

"Pada masa itu, Pak Wan hanya fokus satu benda, nak tengok kereta kebal dan nak dengar sendiri laungan dari stadium. Maka bila kita fokus, Insya-ALLAH kita akan berjaya capai apa yang kita nak," katanya.