Lelaki guna wang bantuan Covid-19 beli Lamborghini ditahan

Pelbagai wajah Lee Price III - Foto HPD
Pelbagai wajah Lee Price III - Foto HPD
A
A
A

WASHINGTON - Seorang lelaki Texas, Lee Price III dipenjarakan selepas dia ditangkap semalam dan didakwa menggunakan wang pinjaman kerajaan sebanyak AS$1.6 juta (RM6.73 juta) untuk membeli barang-barang mewah dan bukan membayar gaji pekerja ketika pandemik koronavirus (Covid-19) melanda.

Dia didapati menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membeli sebuah kenderaan Lamborghini Urus berharga AS$200,000 (RM841,100) dan pelbagai barangan mewah lain.

Justeru, Price III didakwa melakukan penipuan selepas dia memperoleh dua pinjaman kerajaan di bawah Program Perlindungan Gaji (PPP) berjumlah AS$1.6 juta untuk membayar gaji kepada para pekerja yang sebenarnya tidak wujud, kata Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, dia membeli sebuah kenderaan sport dan seutas jam tangan Rolex, hartanah, sebuah pikap trak F-350 dan ribuan dolar dibelanjakan di kelab-kelab bogel,tambah kenyataan tersebut.

Price III turut mendapat dua pinjaman iaitu lebih AS$900,000 (RM3,784,950) bagi syarikat Price Enterprises Holdings dan AS$700,000 (RM2,943, 850) untuk syarikat 713 Construction tetapi kedua-duanya tidak mempunyai pekerja.

Seorang individu yang disenaraikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam syarikat 713 Construction itu telah meninggal dunia pada April tahun ini sebulan sebelum permohonan pinjaman tersebut dikemukakan.

Kongres AS sebelum ini meluluskan program PPP pada lewat Mac lalu bagi membantu perniagaan kecil meneruskan bisnes semasa pandemik Covid-19 dan pinjaman tersebut tidak perlu dibayar jika terbukti ia digunakan untuk membayar gaji pekerja, sewa dan bil utiliti.

Sebelum ini, seorang ahli perniagaan di Florida, David T. Hines, 29, didakwa di sebuah mahkamah kerana menggunakan sebahagian pinjaman perniagaan kerajaan berjumlah hampir AS$4 juta (RM17 juta) untuk membeli kereta sport Lamborghini Huracan dan pembelian palsu lain. - Agensi

Artikel Berkaitan: