X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka United cari rentak dalam tiga aksi persahabatan

Foto: Melaka United Soccer Association - MUSA
A
A

MELAKA United mengatur tiga perlawanan persahabatan bagi menilai prestasi pemain menjelang pertemuan menentang Perak dalam aksi Liga Super pada 26 Ogos ini selepas liga ditangguhkan sejak 16 Mac lepas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata, perlawanan itu penting bagi membolehkan pasukannya mencari rentak setelah pemain kembali menjalani latihan pada 15 Julai lalu selepas kesemua pasukan dibenarkan berlatih secara bersentuhan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Latihan berjalan lancar daripada mula kita dibenarkan turun padang, biarpun ia agak terhad mengikut SOP bagi membendung penularan Covid-19 namun pemain dapat menerima serta mengikuti dengan baik latihan yang diberikan.

"Saya tidak nafikan prestasi sedikit terjejas kerana mereka tidak bermain bersama dalam tempoh yang agak lama namun saya perlu cepat mencari keserasian dan membentuk pasukan ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

ZAINAL ABIDIN - Foto: Melaka United Soccer Association - MUSA
ZAINAL ABIDIN - Foto: Melaka United Soccer Association - MUSA

Pengendali berusia 59 tahun itu berkata, ketika sesi latihan, pemain menunjukkan persefahaman dan mereka perlu terus mempamerkan prestasi tersebut ketika perlawanan persahabatan sebelum turun dalam aksi sebenar.

Tiga pasukan yang bakal dihadapi skuad Hang Tuah dalam siri persahabatan tersebut ialah PDRM FA pada 8 Ogos, UiTM FC (14 Ogos) dan Felda United FC (19 Ogos).

Saingan Liga Super dan Liga Premier yang bersambung pada 26 Ogos ini berlangsung tanpa penonton bagi mematuhi SOP Pengelolaan Perlawanan Liga Malaysia Tanpa Penonton (Pencegahan Covid-19) yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Melaka United kini menghuni tangga ke-11 liga dengan mengutip tiga mata selepas dikenakan hukuman pemotongan tiga mata apabila gagal membayar baki tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!