KPDNHEP buat kajian menyeluruh punca peningkatan kos sara hidup

Saifudin (kanan) menunjukkan senarai harga kawalan pada sidang media Majlis Pengumuman Skim Barangan Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2019 di kementeriannya, hari ini. - Foto Bernama
Saifudin (kanan) menunjukkan senarai harga kawalan pada sidang media Majlis Pengumuman Skim Barangan Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2019 di kementeriannya, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memulakan kajian lebih komprehensif mengenai punca peningkatan kos sara hidup dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mesyuarat jemaah menteri mengakui terdapat sekurang-kurangnya enam komponen utama yang menyumbang kepada beban hidup rakyat iaitu makanan, perumahan, kos utiliti, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan.

"Komponen terbesar ialah makanan dan kalau kita tinjau Indeks Harga Pengguna (IHP) pun sama, fokus kepada segmen makanan sumbang hampir 30 peratus.

"Segmen makanan, perumahan, utiliti dan pengangkutan sahaja menyumbang kepada hampir 70 peratus kepada IHP," katanya pada sidang media mengenai Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata KPDNHEP, yang juga sekretariat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara, akan memberi fokus kepada komponen-komponen tersebut dengan kerjasama kementerian terbabit seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan.

Saifuddin Nasution berkata antara cadangan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara yang telah dilaksanakan ialah pas bulanan bernilai RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL yang diperkenalkan 1 Jan lepas.

"Akan ada beberapa pengumuman lagi nanti, tetapi setakat hari ini jemaah menteri minta KPDNHEP mengemukakan kajian lebih komprehensif mengenalpasti sebahagian besar punca (peningkatan kos sara hidup)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata KPDNHEP akan memastikan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap agensi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita buka ruang kepada SPRM untuk menjalankan tangggungjawab...tiada sebarang halangan daripada pihak saya kerana itu bidang tugas SPRM dan akan pastikan SSM memberi kerjasama sepenuhnya," katanya.

Ditanya sama ada kementerian akan menjalankan siasatan dalaman terhadap agensi itu, katanya buat masa ini KPDNHEP menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM memandangkan siasatan telah dimulakan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution tidak menolak kemungkinan kementerian menjalankan siasatan dalaman jika terdapat keperluan pada masa akan datang.

Terbaharu, anak kepada pegawai pengurusan tertinggi SSM dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Selasa lepas bagi menyerahkan dokumen berkaitan siasatan ke atas SSM membabitkan projek dianggarkan bernilai RM500 juta.

Menurut laporan media, pembabitan lelaki berusia 20-an itu terbongkar selepas serbuan dilakukan SPRM di tiga syarikat dan di Menara SSM pada 14 Januari lepas.

Pada 9 Januari, SPRM turut merampas 69 kotak berisi dokumen perjanjian dipercayai membabitkan projek itu, di ibu pejabat SSM. - Bernama