Kashmir wilayah Pakistan

Peta politik baharu yang menandakan Kashmir sebagai milik Pakistan dan diluluskan Khan. Foto: Agensi
Peta politik baharu yang menandakan Kashmir sebagai milik Pakistan dan diluluskan Khan. Foto: Agensi
A
A
A

ISLAMABAD - Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan semalam meluluskan peta politik baharu negara itu yang menandakan bahagian Kashmir yang dikawal India dan mempunyai majoriti penduduk Muslim sebagai wilayah mereka.

Khan mengumumkan perkara itu menjelang ulang tahun pertama New Delhi pada hari ini yang membatalkan Artikel 370, sekali gus memansuhkan status autonomi di Jammu dan Kashmir.

“Hari ini ialah hari yang bersejarah buat Islamabad. Kashmir akan menjadi sebahagian daripada Pakistan dan peta ini adalah langkah pertama untuk merealisasikannya,” ujarnya yang turut menggelar India sebagai penindas dan penceroboh.

Pakistan menandakan wilayah pertikaian tersebut sebagai ‘diduduki secara haram oleh New Delhi’.

India menerusi satu kenyataan menyifatkan peta politik baharu itu sebagai tidak masuk akal.

Wilayah pergunungan Himalaya itu telah dibahagikan antara India dan Pakistan sejak pemisahan kedua-dua negara kuasa nuklear itu pada 1947, malah New Delhi serta Islamabad juga pernah terlibat dalam tiga peperangan kerana menuntut kawasan tersebut.

Di Srinagar, perintah berkurung selama dua hari untuk mengekang protes ganas ditarik balik lewat malam tadi, namun pasukan tentera masih berkawal di kebanyakan laluan utama dan turut menempatkan pagar kawat berduri untuk menyekat pergerakan penduduk. - Agensi

Artikel Berkaitan: