Golongan ‘anti mask’ kecil tapi boleh bawa kesan besar

Dr Noor Azmi pada program Sinar Live bertajuk Anti Mask, Kenapa Jadi Konflik bersama moderator, Haslina Kamaludin di Studio F Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
Dr Noor Azmi pada program Sinar Live bertajuk Anti Mask, Kenapa Jadi Konflik bersama moderator, Haslina Kamaludin di Studio F Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan ‘anti mask’ disifatkan sebagai gerakan yang kecil namun boleh menjadi besar sekiranya media sosial terus dijadikan platform untuk mempengaruhi masyarakat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, terdapat empat kategori golongan dalam isu pemakaian pelitup muka dan golongan ‘anti mask’ itu adalah paling minoriti.

Bagaimanapun, katanya, golongan itu akan memberi kesan buruk terhadap kadar jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

“Perlu diingatkan bahawa Covid-19 ini tiada ubat dan penghasilan vaksin juga akan mengambil masa yang lama. Jadi senjata yang kita ada adalah tiga perkara iaitu cuci tangan dengan bersih, penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

“Dengan pemakaian pelitup muka, ia boleh mengurangkan kadar jangkitan sehingga 60 peratus,” katanya menerusi program Sinar Live bertajuk Anti Mask, Kenapa Jadi konflik? di Studio F Kumpulan Karangkraf di sini, malam ini.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, tiga golongan lagi termasuk mereka yang mempunyai kesedaran namun sering terleka untuk memakai pelitup muka dengan sempurna.

“Golongan ini yang paling ramai. Dalam masa sama, kena pastikan pelitup muka yang dipakai menetapi ciri-ciri disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu mempunyai tiga lapisan yang mana lapisan tengah dan luar tidak telus air.

“Dua lagi golongan ini tidak begitu ramai tapi ada iaitu mereka yang takut dikompaun dan juga yang benar-benar menjaga prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berkata, amalan normal baharu perlu diberi keutamaan memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bakal berakhir pada 31 Ogos ini.

“Dalam normal baharu kita kena hati-hati walaupun dengan keluarga sendiri kerana ia jadi senjata kita. Ini perlu berterusan sehingga kita ada ubat dan vaksin.

“Apa (berlaku) selepas PKPP bergantung kepada data dan kes yang kita ada. Berdasarkan fakta-fakta ini kerajaan akan buat keputusan. Kalau tak jaga, kita kena lockdown balik, jadi kita kena sedar dan insaf,” katanya.