X

Kindly register in order to view this article
!

Rezeki halal dan berkat

A
A

Alhamdulillah, saya dapat bersama keluarga di kampung pada Hari Raya Aidiladha tahun ini. Biarpun hanya sekadar dua hari di kampung, tetapi ia sangat bermakna. Maklumlah pada Hari Raya Aidilfitri sebelum ini, semua orang tidak dibenarkan merentas negeri.

Seperti biasa, sehari sebelum hari raya, orang ramai akan pergi ke pasar untuk membeli barang keperluan. Saya dan suami juga tidak melepaskan peluang untuk mencari barang-barang keperluan.

Setibanya saya ke pasar kecil di sebuah pekan, saya agak terkejut kerana boleh dikatakan majoriti pengunjung dan penjual tidak memakai pelitup muka. Yang memakai pelitup muka boleh dibilang dengan jari.

Mungkin mereka rasa aman kerana tiada kes Covid-19 yang berlaku di kawasan tersebut dan di tempat tinggal mereka sejak virus itu mula menyerang dunia.

Dalam tulisan saya kali ini saya ingin kongsikan tentang tahap kejujuran seorang peniaga. Saya memang sudah mengetahui harga hasil laut di negeri kelahiran saya jauh lebih mahal berbanding di tempat saya mencari rezeki. Memandangkan anak-anak yang sangat cerewet tentang makanan, saya mengambil keputusan untuk membeli sedikit udang bagi menyediakan makanan kegemaran mereka.

Menjadi budaya di pasar-pasar kecil di negeri kelahiran saya, udang dijual dalam bentuk tompokan/longgokan. Saya terpandang udang-udang yang sudah siap diletak dalam bekas. Ada bekas yang berisi udang bersaiz kecil dan ada bekas yang berisi udang bersaiz besar. Suami saya bertanyakan harga dan sudah pasti harga berbeza mengikut saiz udang.

Mempercayai apa yang saya nampak pada pandangan mata, saya memilih untuk membeli udang bersaiz besar apabila melihat harganya agak munasabah dengan saiznya. Tidaklah pula saya terfikir untuk membelek longgokan udang dalam bekas berkenaan. Saya sekadar menunjuk udang dalam bekas yang dikehendaki dan penjual memasukkannya ke dalam plastik. Dalam hati tidak sedikit pun terlintas mahu melihat udang yang telah dimasukkan ke dalam plastik tersebut.

Apabila sampai di rumah, tentu sekali udang dan lain-lain yang dibeli perlu dibersihkan. Maka terserlahlah hakikat sebenar yang ada dalam longgokan udang yang kelihatan bersaiz besar di atasnya. Rupa-rupanya penjual tersebut hanya meletakkan udang yang besar pada bahagian atas sahaja tetapi bahagian bawahnya adalah udang-udang kecil.

Dalam hati terdetik, sampai tahap ini orang hendak menipu. Sedih dan kesal pun ada. Manakan tidak, sedih bila memikirkan apa yang dibayar tidak setimpal dengan apa yang diterima. Saya kesal kerana memikirkan penjual yang tidak mengutamakan rezeki yang halal dan berkat. Situasi itu mengingatkan saya kepada satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah melalui longgokan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam longgokan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah SAW bersabda, ‘apakah semua ini wahai pemilik makanan?‘ Lelaki itu menjawab: ‘Makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW.‘ Seraya Rasulullah bersabda: ‘Kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu di sebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu maka ia bukan daripada agamaku (yang sempurna)‘.”(Riwayat Muslim)

Kejujuran dalam perniagaan adalah sangat dituntut. Jika seseorang itu menipu dalam urusan perniagaannya, hasil yang dia peroleh sebenarnya akan membuatkan dia menderita di akhirat nanti. Ini kerana dia memakan harta orang secara batil.

Akhir kalam, carilah rezeki yang halal lagi diberkati melalui kejujuran. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!