MySejahtera lebih selamat untuk lindungi maklumat peribadi

Dr N Ganabaskaran
Dr N Ganabaskaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan aplikasi MySejahtera bagi merekodkan maklumat pelanggan adalah lebih selamat berbanding mencatatkan ia di dalam buku secara manual atau menggunakan aplikasi lain, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran.

Beliau berkata, keputusan kerajaan mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera di semua premis perniagaan bukan sahaja memudahkan proses pengesanan kontak malah ia dilihat dapat melindungi maklumat peribadi pelanggan.

Menurut beliau, penggunaan MySejahtera secara seragam di semua premis dilihat memudahkan pelbagai pihak terutamanya pelanggan yang hanya perlu memuat turun satu aplikasi sahaja.

"Dengan memuat turun aplikasi itu kita boleh gunakan di merata-rata tempat, bagi saya ia lebih selamat dalam melindungi maklumat peribadi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau dalam pada itu turut menyatakan kebimbangannya terhadap penyalahgunaan butiran peribadi seperti penjualan nombor telefon bimbit oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Isnin lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan akan mewartakan kewajiban penggunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis seluruh negara, menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan masalah untuk mengesan kontak rapat kes jangkitan Covid-19 berikutan ada premis yang tidak menggunakan aplikasi MySejahtera atau menggunakan aplikasi lain untuk tujuan pengesanan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali ketika diminta mengulas mengenai aplikasi MySejahtera berkata, pihaknya sentiasa menyokong apa sahaja hasrat kerajaan dalam membendung Covid-19 yang tentunya memberi manfaat kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ahli persatuannya sudah menggunakan aplikasi seperti MySejahtera sejurus selepas ia diperkenalkan dan beliau berharap kerajaan dapat melakukan penambahbaikan.

"Aplikasi seperti ini lebih selamat, kerana kita bimbang apabila berlaku perkongsian pen ketika menulis maklumat peribadi di buku ia dilihat lebih meningkatkan risiko dijangkiti. Mungkin boleh ditambah baik dengan menyediakan ruang suhu di dalam aplikasi itu agar mudah pelanggan merekodkan suhu mereka," katanya. - Bernama