X

Kindly register in order to view this article
!

SSPN-i RM100 seorang kepada 135 penghuni Darul Akhyar

Ahmad Dasuki (belakang, tengah) bersama sebahagian penghuni Darul Akhyar yang menerima sumbangan RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i hari ini.
A
A

KUALA NERUS – Kegembiraan terpancar di wajah 135 penghuni asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Batu Rakit apabila menerima sumbangan RM100 seorang daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini.

Sumbangan wakalah zakat PTPTN berjumlah keseluruhan RM13,500 itu diberi dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada semua penghuni asrama berkenaan yang terdiri daripada anak-anak yatim dan miskin.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, PTPTN bukan hanya berfungsi memberi pinjaman dan menyediakan instrumen simpanan bagi tujuan pendidikan malah turut menitikberatkan soal kebajikan masyarakat serta sokongan dari aspek sumbangan.

Menurutnya, PTPTN juga amat prihatin dalam setiap program kemasyarakatan melalui program tanggungjawab sosial korporat dan sentiasa bersedia membantu golongan yang memerlukan.

“Dengan sumbangan ini, saya harap anak-anak penghuni Darul Akhyar akan mendapat manfaat daripada penabungan SSPN-i dan berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi pada masa hadapan.

“Jadikan sumbangan ini sebagai pendorong untuk berjaya dan menanam tabiat menabung dalam diri serta teruslah menyimpan di dalam akaun SSPN-i secara konsisten dan istiqomah,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan SSPN-i kepada anak-anak yatim dan miskin Pertubuhan Kebajikan Darul Akhyar di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin; Pengetua Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Suhartini Mohamad dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Dalam ucapannya juga, Ahmad Dasuki sempat berkongsi kisah rakan-rakan persekolahannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk anak orang miskin dan cacat anggota badan namun berjaya apabila dewasa sebagai dorongan dan motivasi kepada anak-anak Darul Akhyar.

“Paling penting, amalkan sikap menabung sejak awal. Kita bukan menabung bila kaya tapi menabung untuk berjaya pada masa depan,” tambahnya lagi.

Sementara itu Ahmad Dasuki turut memaklumkan bahawa PTPTN membantu lebih 180,000 pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta pada setiap tahun.

Sementara itu seorang penerima, Mohd Farhan Mat Zin, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Rakit meluahkan rasa gembira dengan sumbangan wang RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang diterimanya hari ini.

“Saya pernah dengar mengenai tabungan ini tapi belum berkesempatan buka akaun jadi bila dapat SSPN-i hari ini, saya rasa gembira dan akan menambah duit tabungan pada masa akan datang,” katanya yang tinggal di Kampung Mengabang Panjang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!