Sekatan perjalanan ke atas Maria Chin beralasan yang dibenarkan

Maria Chin Abdullah - Foto sumber internet
Maria Chin Abdullah - Foto sumber internet
A
A
A

PUTRAJAYA - Sekatan perjalanan ke luar negara yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah adalah dalam alasan yang dibenarkan kerana ia melibatkan persoalan dasar kerajaan dan kepentingan nasional yang berpotensi mempengaruhi hubungan diplomatik dengan Korea Selatan, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan Menteri Dalam Negeri berkata demikian dalam hujahnya pada prosiding rayuan yang dikemukakan Maria dengan menyatakan:

“Ketua Pengarah Jabatan Imigresen menyatakan bahawa alasan untuk menyenaraihitamkan Maria bahawa perayu telah mengkritik kerajaan di forum berbeza dan perhimpunan haram.”

Merujuk kes Kerajaan Malaysia lawan Loh Wai Kong, Shamsul berkata, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa kebebasan peribadi dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan hak asasi asas kepada warganegara untuk melakukan perjalanan ke luar negara.

Dalam kes itu, beliau menyatakan kerajaan boleh menghentikan seseorang dari meninggalkan negara.

Maria yang merupakan bekas Pengerusi Bersih 2.0 dihalang melakukan perjalanan ke Korea Selatan pada 15 Mei 2016 untuk menerima anugerah bagi Bersih 2.0.

Bagaimanapun, larangan perjalanan itu ditarik balik pada 17 Mei 2016 selepas dua hari larangan itu dikeluarkan.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakimannya pada 18 Mei 2017 manakala rayuannya ditolak di Mahkamah Rayuan pada 25 Mei 2018.

Pada 19 Februari 2019, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Maria untuk mengemukakan rayuan.

Artikel Berkaitan:

Peguam Datuk Gurdial Singh Nijar yang mewakili Maria dalam hujahnya berkata, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Imigresen tidak boleh bergantung kepada peruntukan am dalam Akta Imigresen untuk mewajarkan larangan perjalanan ke atas Maria dan mencabuli hak asasi kebebasan bersuara dan ekspresi beliau.

Beliau berhujah dengan bergantung kepada Pekeliling dalaman jabatan untuk menghalang Ahli Parlimen Petaling Jaya itu ke luar negara pada 2016, responden (Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Imigresen) telah mengehadkan kebebasan bersuara dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Responden membenarkan larangan perjalanan atas alasan bahawa perayu (Maria) dijadualkan berucap dalam Forum Gerakan Rakyat dan telah menganjurkan perhimpunan Perjanjian Perkongsian Anti-Trans-Pasifik (Perhimpunan Anti-TPPA),” katanya.

Peguam itu berkata, Seksyen 3 (2) atau Seksyen 4 Akta Imigresen 1959 tidak memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk mengenakan larangan perjalanan atau mengeluarkan suatu Pekeliling yang memberinya kuasa perundangan, manakala Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan hanya menyatakan Parlimen dan bukan Eksekutif yang boleh menyekat kebebasan bersuara dan berhimpun.

Beliau juga berhujah bahawa hak eksklusif Parlimen untuk mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara dan ekspresi, bagaimanapun, hanya sah jika termasuk dalam sekatan yang dibenarkan seperti ketenteraman awam atau moral atau kepentingan keselamatan Persekutuan.

Gurdial Singh berhujah, walaupun larangan perjalanan telah ditarik balik ke atas Maria, beliau tidak boleh dibiarkan tanpa remedi, sambil menambah bahawa Maria harus diberikan pampasan wang berdasarkan pelanggaran perlembagaan yang dilakukan oleh responden.

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat menetapkan untuk menyampaikan keputusan rayuan itu pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal. - Bernama