Kerajaan negeri bakal wujudkan Majlis Digital Johor

Hasni (tengah) pada Pelancaran Johor E-Marketplace di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar hari ini.
Hasni (tengah) pada Pelancaran Johor E-Marketplace di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Majlis Digital Johor akan diwujudkan dalam usaha mempercepatkan hasrat kerajaan negeri memiliki sebuah Digital Bank pada masa akan datang.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, bagi memastikan Digital Bank terbabit menjadi kenyataan, masyarakat perlu menggunakan segala aspek digital sebagai gaya hidup seharian mereka.

Katanya, kerajaan negeri telah mengorak langkah memperkenalkan platform e-dagang dikenali sebagai Johor E- Marketplace sebagai gaya hidup baharu perniagaan dalam talian bagi produk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Johor E-Marketplace merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri Johor dalam membantu golongan usahawan untuk terus maju menerusi perniagaan secara dalam talian terutamanya semasa menghadapi cabaran.

"Usaha ini bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 usahawan di negeri ini serta jutaan pengguna platform e-dagang," katanya pada Majlis Pelancaran Johor E-Marketplace di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Izhar Ahmad; Pengarah Eksekutif Perbadanan Usahawan Johor, Ashari Kasnan dan Ketua Kluster Barangan Pengguna Bergerak Pantas Shopee Malaysia, Tan Ming Kit.

Dalam pada itu Hasni berharap kerjasama serta persefahaman antara kerajaan negeri dan Shopee Malaysia menjalin kerjasama startegik membangunkan Johor E-Marketplace ini dapat diterjemah dalam bentuk jumlah jualan yang baik.

"Kerajaan negeri yakin kerjasama ini juga mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di Johor yang sebahagian besarnya bergantung dengan perniagaan PKS.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga menyeru usahawan di negeri ini merebut peluang bagi meningkatkan kualiti, nilai dan daya saing produk masing-masing menerusi penglibatan dalam Johor E-Marketplace," katanya.