Lori buang sisa minyak ke dalam sungai sudah dikenal pasti

Laporan Sinar Harian berkaitan kes lori buang sisa minyak ke dalam sungai.
Laporan Sinar Harian berkaitan kes lori buang sisa minyak ke dalam sungai.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) menerima aduan pencemaran membabitkan sebuah lori yang membuang sisa minyak ke dalam Sungai Batang Nilai, malam semalam.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, siasatan dijalankan pihak JASNS mendapati pencemaran yang berlaku bermula daripada sisa yang dibuang di longkang awam di Taman Ros Merah seterusnya memasuki Sungai Batang Nilai.

Katanya, sebaik sahaja menerima aduan, JASNS terus ke lokasi kejadian bersama agensi-agensi lain seperti Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan Pengurusan Air Selangor.

"Air sungai tersebut didapati berbau sisa berminyak dan berpotensi menjejaskan Loji Rawatan Air Sungai Labu, Selangor.

"Sampel buangan telah diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis komposisi buangan," katanya.

Tambahnya, JASNS telah mengenal pasti kenderaan yang digunakan untuk membuang sisa minyak berkenaan.

Bagaimanapun katanya, beberapa individu terlibat telah melarikan diri sebelum penguat kuasa sampai.

Tambah Veerapan, JASNS kini menyediakan kertas siasatan bagi mendakwa pihak yang terlibat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan lain-lain seksyen yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pihak yang bertanggungjawab boleh didenda sehingga maksimum RM500,000 dan penjara mandatori sehingga 5 tahun.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas penjenayah alam sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dan rakyat khususnya terpelihara," katanya.