Ahmad Zahid gesa suspek terlibat kes Adib dituduh membunuh

Lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya pada 10 Disember 2018. Foto: Fail
Lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya pada 10 Disember 2018. Foto: Fail
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa 12 orang suspek yang terlibat dengan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dituduh di bawah kesalahan membunuh dan bukan kerana melakukan rusuhan.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau mengambil maklum cadangan kerajaan kepada pihak Peguam Negara untuk menuduh suspek terbabit di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang merusuh dan menyerang jentera bomba dan mengadakan semula inkues untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 339 (2) Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, kata beliau, cadangan tersebut seolah-olah menidakkan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September tahun lalu yang memutuskan bahawa punca kematian Muhammad Adib adalah disebabkan dari perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali.

"Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah hukuman bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, di mana pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau keduanya sekali.

"Ini tidak setimpal dengan nyawa seorang penjawat awam yang telah dibunuh. Sewajibnya, pendakwaan yang patut dikenakan kepada mereka yang terlibat adalah kesalahan yang berkaitan dengan jenayah membunuh sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Bab 16 Kanun Keseksaan dan bukannya kesalahan himpunan haram," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan kerajaan untuk menuduh supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terlibat dalam kematian Muhammad Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Selain itu, kerajaan turut mencadangkan untuk membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut membidas cadangan tersebut kerana ia bukan sahaja membuang masa malah melengahkan lagi keadilan terhadap Allahyarham Muhammad Adib dan ahli keluarganya.

Artikel Berkaitan:

"Apatah lagi kesalahan yang telah dilakukan adalah suatu jenayah yang amat serius terhadap seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

"Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham Muhammad Adib ditempatkan dalam kalangan golongan beriman dan beramal soleh. Amin," katanya.