Tiada resit daripada BN, UMNO berhubung kes Rosmah

Rosmah sedang memperbetulkan pelitup mukanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Rosmah sedang memperbetulkan pelitup mukanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa tiada sebarang resit diterima daripada Barisan Nasional (BN) dan UMNO berhubung sumbangan politik berjumlah RM6.5 juta yang telah diberikan kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Saidi Abang Samsudin, 61, Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu berkata demikian dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes rasuah Rosmah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak.

Sri Ram: Sehingga hari ini, anda mengatakan bahawa RM6.5 juta adalah untuk sumbangan politik. Jadi sehingga hari ini, adakah anda menerima sebarang resit daripada BN dan UMNO untuk memperakui bahawa RM6.5 juta itu sebagai sumbangan?

Saidi: Tidak.

Sri Ram: Adakah tertuduh (Rosmah) menolak ketika anda membuat sumbangan politik itu?

Saidi: Tidak, dia (Rosmah) senyum sahaja dan dia panggil Rizal (Datuk Rizal Mansor) untuk atur semua.

Sri Ram: Semasa pertemuan kedua pada 7 September 2017, ketika anda membawa dua beg berisi wang (RM1.5 juta) adakah dia (Rosmah) meminta anda meninggalkan rumahnya?

Saidi: Dia hanya memberi respons "Hm"...itu sahaja.

Artikel Berkaitan:

Saidi yang juga saksi penting pendakwaan ketika membacakan penyataan saksi berkata, beliau telah menyerahkan RM6.5 juta seperti yang telah dijanjikan kepada Rosmah untuk sumbangan politik.

Menceritakan perkara itu, Saidi, yang juga ahli parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata, pada 20 Disember 2016, beliau telah menyerahkan wang RM5 juta yang diisi ke dalam dua bagasi kepada Rosmah melalui bekas pembantu wanita itu Datuk Rizal Mansor di bangunan pejabat Lawrence di Pavilion.

"Saya telah jumpa Rizal dan Lawrence... dalam perjumpaan itu, saya telah memberitahu mereka bahawa dua bagasi berkenaan mengandungi wang tunai RM5 juta. Saya juga meminta Lawrence untuk mengeluarkan resit penerimaan wang tunai kepada saya dan Lawrence mengatakan dia akan menyediakan resit itu.

"Saya tidak pernah menerima resit yang dijanjikan oleh Lawrence sehingga ke hari ini. Rizal telah berbincang dengan Lawrence berkenaan isu penyerahan wang itu kepada siapa tetapi saya tidak memberi perhatian kepada perbincangan mereka.

“Kemudian Rizal mengatakan beliau perlu menghantar wang tunai itu ke rumah Datin Seri Rosmah," katanya yang turut memaklumkan kedua-dua bagasi kemudian dimasukkan ke dalam kereta Toyota Vellfire milik Rizal.

Menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani sama ada beliau tahu wang RM5 juta itu telah diserahkan kepada Rosmah, Saidi berkata, "Rizal beritahu saya bahawa beliau akan pergi ke rumah Datin Seri Rosmah.”

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata, wang tersebut merupakan sebahagian daripada wang pinjaman berjumlah RM16 juta yang diperoleh daripada syarikat Builtamont International Sdn Bhd untuk melaksanakan projek genset diesel bermula 1 Januari 2017.

"Pinjaman itu dimasukkan Builtamont ke dalam akaun operasi Jepak di CIMB Bank secara berperingkat. Saya telah menggunakan RM5 juta daripada pinjaman itu untuk membayar Datin Seri Rosmah atas bantuan yang diberikan," katanya.

Saidi berkata, beliau dan rakan perniagaannya, Rayyan Radzwill Abdullah juga telah membawa dua beg galas berisi wang tunai RM1.5 juta untuk diserahkan kepada Rosmah di kediaman tertuduh di Langgak Duta pada 7 September 2017 selepas Rizal sering mengingatkan beliau agar membayar sumbangan politik yang dijanjikan kepada Rosmah.

Saksi itu juga berkata, beliau telah meminta Rizal untuk mendapatkan bantuan 'Mem' bagi mempercepatkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) kepada Jepak bagi projek solar hibrid.

"Mem merupakan nama panggilan yang digunakan Rizal untuk merujuk kepada Rosmah. Saya juga ada bertanya kepada Rizal mengenai jumlah wang yang perlu dibayar oleh saya kepada Datin Seri Rosmah untuk membantu Jepak. Rizal memberitahu saya dan Rayyan biasanya 10 peratus hingga 15 peratus," katanya.

Saidi berkata, beliau telah memaklumkan Rosmah bahawa sumbangan politik sebanyak 10 peratus daripada nilai projek solar hibrid bernilai RM1.25 billion akan diberikan kepada isteri bekas Perdana Menteri itu.

"Idea penawaran sumbangan politik ini merupakan idea saya dan Rayyan," katanya.

Saksi itu berkata, Rosmah kemudian memberikan respons bahawa status politik UMNO ketika itu agak teruk dan UMNO Pekan memang memerlukan dana politik dan meminta beliau berbincang dengan Rizal.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi berhubung projek tenaga solar itu.

Suapan itu didakwa diterima melalui Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

- Bernama