Lapor maklumat isu gengsterisme di bekas lombong: Polis

Nelayan darat di Sungai Galah kini berdepan dilema untuk mencari rezeki berikutan penerokaan haram yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan kawasan pencarian ikan terhad.
Nelayan darat di Sungai Galah kini berdepan dilema untuk mencari rezeki berikutan penerokaan haram yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan kawasan pencarian ikan terhad.
A
A
A

IPOH - Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika berlaku kegiatan yang melanggar undang-undang susulan laporan Sinar Harian bertajuk Gengster diupah jaga bekas lombong yang disiarkan Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pihaknya memandang serius terhadap sebarang aktiviti yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

Beliau menjelaskan isu yang berlaku di dalam laporan tersebut melibatkan insiden pertikaian kawasan bekas lombong yang berlaku sejak tahun 2018.

"Semakan rekod juga mendapati kerajaan negeri tidak pernah menyerahkan kepada mana-mana pihak untuk mengusahakan lombong tersebut.

"Pihak polis juga telah menerima beberapa laporan berkenaan pertelingkahan ini bermula awal bulan Mac lalu sehingga kini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Barudin berkata, pihaknya juga bertindak proaktif dengan mengadakan beberapa perbincangan dan lawatan ke lokasi pertikaian tersebut bersama wakil Pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah serta Ketua Perikanan Daerah Perak Tengah bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Dalam pada itu, beliau menafikan wujud unsur gengsterisme berhubung kejadian seperti yang dilaporkan itu.

Namun katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah meneruskan siasatan dan risikan serta tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar undang-undang di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, beberapa nelayan darat di sekitar Sungai Galah, Kampung Gajah mendedahkan berlaku penerokaan haram kawasan bekas lombong di sekitar daerah itu malah terdapat nelayan yang cedera dipukul oleh sekumpulan individu yang menjaga kawasan bekas lombong tersebut.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husin menjelaskan pihaknya akan menyiasat dakwaan penglibatan gengster yang diupah menjaga kawasan bekas lombong nelayan darat di negeri ini.