Padah jual jam tangan tiruan

Tertuduh (dua dari kanan) mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Setiu hari ini.
Tertuduh (dua dari kanan) mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Setiu hari ini.
A
A
A

SETIU - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Setiu hari ini setelah mengaku bersalah memiliki 125 unit jam tangan berjenama yang disahkan tiruan.

Tertuduh, Muhammad Hizammudin Mohamad Rais, 29, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azimah Yaacob.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 125 unit jam tangan bagi maksud perdagangan yang dipakaikan cap dagangan secara salah menggunakan jenama G-Shock.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis beralamat di Taman Hijrah, Kampung Bari Besar, Setiu, Terengganu jam 12.20 tengah hari pada 27 Julai lalu.

Pendakwaan ke atasnya dilakukan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 dan dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan bagi kes itu dijalankan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Besut, Kamarulzaman Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, KPDNHEP Cawangan Besut merampas 125 unit jam tangan tiruan jenama popular bernilai RM2,500 dalam Ops Jeriji di sebuah premis perniagaan di Setiu.

Rampasan itu dilakukan dalam serbuan jam 12 tengah hari bersama wakil pemilik cap dagang berdaftar.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Cawangan KPDNHEP Besut, Azani Ismail berkata, orang ramai digesa supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil untung dengan cara mudah.

"Kita mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan maklumat bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.