Malaysia sedia hantar jemaah umrah

Zulkifli (tengah) menyaksikan sumbangan yang diberikan oleh wakil TNB kepada wakil Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, Seri Iskandar hari ini.
Zulkifli (tengah) menyaksikan sumbangan yang diberikan oleh wakil TNB kepada wakil Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, Seri Iskandar hari ini.
A
A
A

PARIT - Kerajaan bersedia untuk menghantar jemaah Malaysia bagi mengerjakan umrah pada September atau Oktober ini selepas mendapat kebenaran kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu akan bergantung kepada situasi semasa wabak Covid-19.

“Bergantung kepada suasana Covid-19, jangkaan boleh berubah, boleh juga jadi tidak sepertimana haji baru-baru ini yang pada asalnya memang kita bersedia untuk menghantar tetapi melihat suasana dan situasi ia boleh berubah.

“Jadi, kami menyambut baik apa-apa keputusan tapi kemaslahatan dan juga dari segi kesihatan, mana-mana negara pun akan mengutamakannya.

“Kalau semuanya okay, saya rasa tidak ada masalah tapi buat masa ini dalam situasi kita masih berjaga-jaga, amat perlu kita mengambil langkah-langkah untuk mengawal dan mengekang Covid-19,” katanya ketika ditemui pada program lawatan dan sumbangan di Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, Seri Iskandar di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Ditanya mengenai peningkatan kos mengerjakan umrah, Zulkifli tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku berdasarkan situasi semasa yang memerlukan saringan kesihatan tambahan dilakukan.

"Tidak pelik kalau berlaku (peningkatan kos), saya lebih prihatin dari sudut keselamatan kesihatan dan kepatuhan kita kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya," katanya sambil menambah pihaknya akan memperhalusi perkara itu dengan lebih lanjut.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan Okaz/Saudi Gazette melaporkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam tempoh dua minggu ini akan menilai pengalaman menyelaras ibadah haji tahun ini dalam suasana luar biasa berikutan ancaman Covid-19 dan mengambil iktibar daripadanya.

Terdahulu, Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah bagi mengelak jangkitan Covid-19 pada Februari lalu.