Tinggal sehelai sepinggang

Nur Aziah sayu melihat keadaan rumah keluarganya yang musnah dalam kejadian semalam.
Nur Aziah sayu melihat keadaan rumah keluarganya yang musnah dalam kejadian semalam.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang peniaga pasar malam bersama ahli keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka terlibat dalam insiden rempuhan lori tangki di Kilometer (KM) 146 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Kem Batu 5, Mentakab petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, rumah terbabit musnah dalam kebakaran akibat rempuhan lori itu yang turut meragut nyawa pemandu lori selain melanggar lima buah kenderaan yang berada di tepi jalan.

Ketika kejadian, Nur Aziah Mohd Ropi, 39, bersama ahli keluarganya tiada di rumah kerana pulang ke rumah ibunya di Lanchang.

"Saya baru keluar dari rumah kira-kira 10 minit sebelum menerima panggilan mengenai kejadian dan segera berpatah balik.

"Saya terkedu dan hanya mampu melihat rumah musnah termasuk van yang digunakan untuk berniaga," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Van milik Nur Aziah yang digunakan untuk tujuan niaga turut musnah terbakar dalam kejadian semalam.
Van milik Nur Aziah yang digunakan untuk tujuan niaga turut musnah terbakar dalam kejadian semalam.

Ujarnya, hatinya tersentuh apabila anak-anaknya bertanyakan mengenai baju raya dan barangan milik mereka yang terbakar.

"Sedih memang sedih kerana sekelip mata rumah musnah namun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat," jelasnya jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut terkilan dengan komen-komen yang dihantar pelayar Facebook yang menyifatkan kawasan rumahnya berisiko dan sering berlaku kemalangan.

Dakwanya, ia kali pertama insiden seumpama itu berlaku di kawasan rumahnya sepanjang hampir 40 tahun mendiami rumah milik keluarganya itu.

Tambahnya, buat masa ini dia menumpang sementara di rumah ibunya.

Bagi mereka yang ingin mengurangkan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam (06028024554439) atas nama Nur Aziah Binti Mohd Ropi.