Sindiket warga Myanmar palsu dokumen tumpas

Khairul Dzaimee (dua dari kanan) menunjukkan kad yang dipalsukan oleh sindiket pada sidang akhbar di Pejabat Imigresen Putrajaya hari ini.
Khairul Dzaimee (dua dari kanan) menunjukkan kad yang dipalsukan oleh sindiket pada sidang akhbar di Pejabat Imigresen Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kegiatan haram dua sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi warga Myanmar sejak dua tahun lalu akhirnya kecundang dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di dua premis di Jalan Lebuh Pudu, Kuala Lumpur semalam.

Serbuan bermula jam 2.10 petang hasil perkongsian maklumat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu berjaya memberkas 16 lelaki warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semakan mendapati 15 daripada suspek adalah warga Myanmar dan seorang lagi warga Bangladesh.

"Turut ditahan adalah seorang lelaki tempatan merupakan pemilik premis yang menyewakan kepada warga asing terbabit.

"Serbuan ini bertindak merampas pelbagai dokumen palsu seperti i-Kad Imigresen (13), kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) (35), surat UNHCR (6), kad nikah Muslim Myanmar, beberapa keping hologram UNHCR selain mesin pencetak serta komputer," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Imigresen Putrajaya hari ini.

Antara yang dirampas dalam serbuan sindiket pemalsuan dokumen warga asing di ibu negara semalam
Antara yang dirampas dalam serbuan sindiket pemalsuan dokumen warga asing di ibu negara semalam

Beliau mendedahkan, kegiatan sindiket ini dikesan sejak Mei lalu susulan berlakunya pendaratan etnik Rohingya di Kuala Muda, Kedah.

Tambahnya, modus operandi sindiket ini adalah membuat dokumen palsu yang menyasarkan warga Myanmar daripada etnik Rohingya dan Arakan.

Artikel Berkaitan:

"Pelanggan akan dikenakan caj RM30 sehingga RM150 bergantung kepada jenis dokumen. Dokumen ini akan disiapkan dalam tempoh sehari bagi pelanggan di sekitar Lembah Klang. Kita percaya sindiket ini turut menerima pelanggan dari seluruh Semenanjung Malaysia," katanya.

Selain itu, siasatan juga mendapati sindiket menyediakan perkhidmatan meminda maklumat pasport antarabangsa, membuat pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan lain-lain.

"Kita juga menemui surat pengesahan pemeriksaan Covid-19 klinik swasta dan templat lain di dalam komputer yang dirampas," katanya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan pihaknya akan berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM).