Tewas kepada Fulham, gagal ke EPL

Aksi pemain Brentford (jersi biru) dan Fulham kelmarin. - Foto gettyimages
Aksi pemain Brentford (jersi biru) dan Fulham kelmarin. - Foto gettyimages
A
A
A

PENGENDALI Brentford, Thomas Frank yakin kesebelasan anak buahnya akan kembali bersaing dengan lebih hebat biarpun tewas 1-2 kepada Fulham pada aksi final playoff Kejuaraan di Wembley kelmarin.

Frank berkata, biarpun gagal layak ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan, dia optimis skuad The Bees itu akan kembali bangkit bagi merealisasikan misi beraksi di EPL, suatu hari nanti.

Malah menurut Frank, dia turut memberikan keyakinan 100 peratus bahawa skuad kendaliannya itu akan kembali dengan lebih kuat musim depan.

"Ia (kekalahan), nyata sukar untuk diterima. Kami telah harungi musim yang baik. Kami juga mampu menjaringkan gol dan melepaskan gol yang sedikit.

"Namun perkara seperti ini adalah sesuatu yang normal dalam bola sepak. Ada banyak contoh pada masa lalu mengenai pasukan yang kembali dengan lebih kuat.

"Dengan kelab ini, saya yakin 100 peratus bahawa kami akan kembali dengan lebih kuat musim depan," katanya.

Pada aksi playoff kelmarin, Fulham menang 2-1 pada masa tambahan setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan setelah tamat masa permainan sebenar.

Pemain Fulham, Joe Bryan membuka jaringan pada minit ke-105 sebelum meledak gol kedua pada minit ke-117 dan pada masa kecederaan, Brentford berjaya merapatkan jurang gol hasil jaringan Henrik Dalsgaard

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di sebalik kekalahan berkenaan, Frank cuba membantu kesebelasan pemain serta penyokong supaya melihat bahawa musim ini adalah musim yang baik buat skuad The Bees itu.

Katanya, setakat ini Brentford telah beraksi dalam banyak perlawanan yang sengit musim ini selain berdepan dengan pasukan-pasukan 'besar.'

"Kami telah berdepan dengan perlawanan-perlawanan menarik musim ini.

"Perlu diingat, ini adalah pencapaian terbaik daripada Brentford, kerana kami telah berdepan dengan kelab-kelab yang lebih besar dengan bajet yang lebih kecil," katanya.