Covid-19: Daerah Gombak kini zon hijau

Maklumat info grafik yang dikongsikan STFC di Facebooknya berhubung kes Covid-19 di Selangor setakat jam 12 tengah hari semalam.
Maklumat info grafik yang dikongsikan STFC di Facebooknya berhubung kes Covid-19 di Selangor setakat jam 12 tengah hari semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Daerah Gombak yang ditakrif sebagai zon kuning sejak 18 hari lalu kini sudah bertukar kepada zon hijau selepas mukim Batu direkod bersih daripada kes aktif wabak koronavirus (Covid-19).

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi infografik dikongsikan di Facebooknya memaklumkan, daerah Sepang, Petaling dan Hulu Langat masih direkod sebagai zon kuning.

“Mukim Petaling dan Batu telah bersih daripada kes aktif yang menjadikannya zon hijau. Daerah Gombak juga menjadi zon hijau susulan perkembangan di mukim Batu. Syabas warga Gombak!

“Seluruh Malaysia hanya mencatatkan satu kes baharu (semalam) yang merupakan motivasi sangat positif. Terus amalkan langkah pencegahan dan gunakan aplikasi SELangkah bagi mendaftar pengunjung yang masuk ke premis anda,” menurut kenyataan dimuat naik itu.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, jumlah keseluruhan kes Covid-19 direkod di Selangor adalah sebanyak 2,130 kes. Daripada jumlah itu, 2,033 pesakit yang dijangkiti virus terbabit dilaporkan telah sembuh.

Menurut kenyataan itu, tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh dua hari berturut-turut di Selangor.

Sebanyak 24 kematian direkod di negeri ini akibat dijangkiti wabak berkenaan melibatkan kes penularan tempatan.

Dalam pada itu STFC mengingatkan rakyat Selangor agar tidak cepat berasa selesa dengan situasi terkini dan cuai mengamalkan normal baharu.

Artikel Berkaitan:

“Pastikan kebersihan dijaga, penjarakkan fizikal dan pemakaian pelitup muka dipatuhi serta daftar keluar masuk premis menggunakan SELangkah sebagai benteng pencegahan anda,” menurut kenyataan itu.