X

Kindly register in order to view this article
!

5,355 individu dikuarantin sejak 24 Julai

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 5,355 individu telah pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 21 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak dan Johor bagi menjalani proses kuarantin wajib.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Mereka telah pulang dari 28 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 1,969 pemeriksaan terhadap mereka yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing semalam serta mengambil tindakan terhadap lima individu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata, PDRM telah membuat 64,656 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP dan turut menahan 127 individu atas kesalahan ingkar PKPP melibatkan lapan orang direman dan 119 lagi dikompaun.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PDRM telah membuat 63 sekatan jalan raya menerusi Ops Benteng bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang individu ditahan kerana kesalahan imigresen.

Bagi operasi sanitasi awam pula beliau berkata, sembilan operasi meliputi enam zon termasuk satu zon kuning telah diadakan kelmarin iaitu di Kedah, Melaka, Pahang dan Sabah.

Menurut kenyataan itu lagi, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 38 tapak binaan seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 34 tapak binaan didapati patuh SOP, sebuah tapak tidak patuh SOP dan diberikan nasihat serta tiga lagi tapak binaan tidak beroperasi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan ke atas 12 jenis bekalan barangan di 727 premis perniagaan termasuk peruncit (533), pemborong (165) dan pengilang (29) kelmarin.

Secara keseluruhan, beliau berkata, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan serta mudah diperoleh. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!