NGO lapor SPRM, dakwa Juhar salah guna kuasa

Zulkarnain (dua dari kiri) menunjukkan laporan yang dihantar kepada SPRM pada sidang akhbar di Putrajaya.
Zulkarnain (dua dari kiri) menunjukkan laporan yang dihantar kepada SPRM pada sidang akhbar di Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Pengerusi Penaja G57, Datuk Zulkarnain Mahdar mendakwa Juhar menerima imbuhan tertentu untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau berkata, Juhar sepatutnya bersikap berkecuali dan bertemu dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah terlebih dahulu sebelum membubarkan DUN.

"Beliau (Juhar) seharusnya berjumpa dengan kesemua ADUN kerana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah tidak dapat sokongan majoriti," katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Zulkarnain berkata, laporan hari ini merupakan laporan kedua kepada SPRM terhadap Juhar.

Menurutnya, laporan pertama dihantar kepada SPRM pada 11 Disember 2018 juga berkaitan salah guna kuasa.

"Saya berharap SPRM mengambil tindakan terhadap Juhar," katanya.

Pada 30 Julai lalu, Mohd Shafie mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shafie membuat pengumuman berkenaan pada sidang akhbar khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah selepas mendapat perkenan Juhar.