X

Kindly register in order to view this article
!

Quartararo tekad teruskan momentum positif di Brno

Quartararo (kanan) dan Morbidelli semasa GP Andalusia dua minggu lalu.
A
A

Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo yakin mampu meneruskan momentum positif menjelang Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno, hujung minggu ini.

Quartararo berkata, berada pada kedudukan teratas dengan 50 mata hasil dua kemenangan berturut-turut pada GP Sepanyol dan GP Andalusia pada 19 serta 26 Julai lalu menjadikannya lebih bersemangat untuk meneruskan kejayaan berkenaan.

Justeru menurut pelumba berusia 21 tahun itu, dia dan rakan sepasukan lain akan terus berjuang untuk menaiki podium kali ini.

“Kejayaan yang dicatat di tanah air sendiri adalah sesuatu yang baik untuk dikenang dan diraikan, tambahan pula setelah memenangi dua perlumbaan pertama MotoGP bagi musim ini.

“Litar Brno adalah litar yang saya suka kerana dari musim sebelumnya, kami semua tahu kami akan menjadi lebih pantas dan menunjukkan prestasi terbaik ketika berlumba di situ (Brno), walaupun ia bukanlah litar yang terbaik untuk jentera kami.

“Litar Brno ada banyak selekoh hebat tetapi selekoh terakhir adalah antara selekoh yang terbaik kerana setelah melalui selekoh-selekoh lain dengan laju anda juga perlu bersedia untuk meneruskan perlumbaan pada garis lurus pula," katanya.

Sesi latihan bebas pertama bagi GP Republik Czech dijangka berlangsung pada Jumaat 3.55 petang manakala perlumbaan 21 pusingan sebenar akan bermula mulai jam 8 malam.

Sementara itu, bagi seorang lagi pelumba Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli menyasarkan untuk menamatkan perlumbaan di Litar Brno dalam kelompok lima pelumba teratas.

Katanya, biarpun berdepan masalah teknikal pada jentera hingga menyebabkannya gagal menamatkan perlumbaan pada GP Andalusia dua minggu lalu, dia turut menyasarkan untuk menaiki podium pada GP kali ini.

“Jangkaan saya untuk GP kali ini tinggi, terutamanya apabila ia berlangsung di Litar Brno yang paling saya gemari.

“Malah, saya juga melihat litar berkenaan sebagai salah satu litar terbaik dalam saingan MotoGP yang melibatkan trek dengan gaya lama dan ia panjang, lebar, teknikal dan laju.

“Oleh itu, melihatkan kepada pencapaian saya di Jerez, kami menjangkakan keputusan yang baik hujung minggu ini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!