JSJN Johor rampas dadah bernilai RM22.14 juta

Ayob Khan (kanan) menunjukkan gambar suspek dan rampasan pelbagai jenis dadah dalam beberapa siri serbuan selepas mengadakan sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan (kanan) menunjukkan gambar suspek dan rampasan pelbagai jenis dadah dalam beberapa siri serbuan selepas mengadakan sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor merampas 1,049.64 kilogram dadah bernilai RM22.14 juta pada tahun ini dari Januari hingga 31 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepanjang tempoh tersebut seramai 11,064 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

"Kita turut melakukan sitaan harta benda dan aset bernilai RM8.84 juta dalam masa tujuh bulan pertama itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sejak Januari hingga sekarang pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Johor melancarkan Ops Dadu bagi membanteras semua jenis perjudian di negeri ini.

Katanya, sebanyak 1,272 serbuan dilakukan melibatkan tangkapan seramai 2,253 suspek dan merampas 1,290 telefon bimbit, 22 buah tab, 75 unit komputer, 59 buah komputer riba serta wang tunai RM651,300.

Selain itu ujarnya, dalam tempoh sama polis turut melancarkan Ops Noda melibatkan 276 serbuan dengan tangkapan seramai 1,503 individu.

Pecahan daripada tangkapan itu katanya, melibatkan 778 wanita warga asing terdiri daripada warga China seramai 26 orang; Filipina (10); Indonesia (62); Myanmar (8); Thailand (376); Vietnam (276); Kemboja (2); Laos (6); Sri Lanka (1); Bangladesh (2) dan Korea (6).

"Sepanjang tahun 2020, 55 individu terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita tempatan, 25 lelaki dan empat wanita Indonesia, sembilan lelaki dan seorang wanita China berusia antara 20 hingga 49 tahun diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Artikel Berkaitan:

"Dalam usaha membanteras kegiatan perjudian, polis Johor mengguna pakai peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di mana sebanyak 198 permohonan pemotongan bekalan elektrik telah dibuat kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Menurutnya, langkah tersebut bagi mendapatkan kebenaran memotong bekalan elektrik di premis-premis yang dijadikan tempat perjudian.

Ayob Khan berkata, pihaknya komited dan akan terus melakuan pemantauan berterusan bagi mengekang aktiviti perjudian dan maksiat daripada berleluasa, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPK Johor di talian 07-2254074.