X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lelaki ancam penguat kuasa dikenal pasti

Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor sudah mengenal pasti tiga lelaki tempatan yang mengugut pegawai penguat kuasa supaya tidak menahan bot-bot yang terlibat aktiviti penyeludupan di pantai timur negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan sedang dilakukan dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat susulan laporan polis yang dibuat semalam terhadap tiga suspek itu.

"Mereka mengugut pegawai agensi penguat kuasa supaya tidak mengambil tindakan terhadap bot-bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyeludup rokok serta arak yang mendarat di pantai timur Johor.

"Suspek didapati bersekongkol dengan aktiviti migran dan kontraban, kita tidak akan bertolak ansur. Ini bukan negara Columbia atau bukan negara luar, ini Malaysia dan ini Johor.

"Kita tidak mahu ada elemen-elemen penyeludup ini atau penjenayah buat ugutan terhadap orang awam atau pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, di sini hari ini.

Pada 4 Jun lalu polis menangkap 40 suspek utama yang menjadi dalang penyeludupan migran di pantai timur Johor melibatkan ejen mengurus keluar masuk migran, menguruskan pengangkutan, tekong darat, tekong laut dan penjaga rumah penampungan.

Susulan itu 24 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ditahan dari 13 hingga 18 Jun lalu disusuli serbuan pada 23 dan 25 Jun lalu kemudian 1 Julai kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran dan kontraban.

Malah Ayob Khan pada 29 Jun lalu mendedahkan, beliau sendiri menerima ugutan dan ancaman termasuk dari luar negara selepas membongkar serta melumpuhkan aktiviti sindiket penyeludupan dadah dan imigran di negeri ini.

Ditanya mengenai bentuk ugutan diterima daripada tiga suspek berkenaan, Ayob Khan berkata, mereka meminta supaya bot-bot terlibat aktiviti jenayah rentas sempadan itu tidak diganggu dan dilepaskan.

"Kalau ambil tindakan mungkin akan berlaku aksi tembak menembak dan sebagainya," katanya sekali gus menyeru anggota penguat kuasa dan orang ramai juga tidak perlu takut sekiranya menerima ancaman.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat tanpa rasa takut sekiranya melihat aktiviti mencurigakan di balai berdekatan atau terus memaklumkannya di Facebook polis Johor.

Tambahnya, tindakan akan diambil selepas laporan atau aduan tersebut dibuat dan mereka tidak perlu khuatir untuk terus menyalur maklumat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!