Letupan umpama serangan bom: Trump

Trump menawarkan bantuan AS kepada Lubnan.
Trump menawarkan bantuan AS kepada Lubnan.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, beliau dimaklumkan oleh jeneral tentera Amerika Syarikat (AS) letupan kuat yang menggegarkan Beirut seolah-olah sebuah letupan bom.

"Ia seperti satu serangan yang mengerikan. Ia kelihatan seperti itu, berdasarkan letupan tersebut. Saya bertemu dengan beberapa jeneral kita yang hebat dan mereka juga berpendapat sama, ” kata Trump memberitahu wartawan di Rumah Putih.

"Ini bukan sejenis kejadian letupan akibat aktiviti pembuatan tetapi mereka seolah-olah menganggapnya sebagai satu serangan, seperti serangan bom," katanya.

Pegawai Lubnan tidak menggambarkan letupan yang menggegarkan ibu negara itu sebagai serangan.

Perdana Menteri Hassan Diab berkata, 2,750 tan baja ammonium nitrat yang disimpan selama bertahun-tahun dalam gudang di tepi pelabuhan Beirut meletup mengakibatkan bencana yang dahsyat.

"Apa yang berlaku hari ini tidak akan berlaku tanpa penanggungjawab. Mereka yang bertanggungjawab terhadap bencana ini akan membayar harganya," katanya.

Ketua Pengarah Keselamatan Abbas Ibrahim berkata 'bahan yang sangat mudah meletup' yang dirampas bertahun-tahun sebelumnya disimpan di gudang.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,700 cedera di seluruh bahagian bandar terbesar di negara itu.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kenyataan Trump, jurucakap Pentagon berkata, mereka tidak mempunyai maklumat untuk mendapatkan penjelasan, namun Trump menawarkan bantuan AS kepada Lubnan.

"Amerika Syarikat bersedia untuk membantu Lubnan. Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan rakyat Lubnan dan kami akan berada di sana untuk membantu," katanya.

Calon presiden demokratik Joe Biden yang menerima taklimat perisikan sejak bulan lalu juga bertindak balas terhadap letupan Beirut tetapi tidak menggambarkannya sebagai satu serangan.

"Doa kami bersama-sama dengan rakyat Lubnan dan korban letupan ngeri di Beirut.

"Saya mendesak Pentadbiran Trump dan masyarakat antarabangsa untuk segera menggerakkan bantuan kepada ribuan yang cedera dalam letupan itu," kata Biden melalui Twitter. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Letupan di Beirut berpunca daripada ammonium nitrat

73 terkorban, 3,700 cedera dalam letupan di Beirut

Tragedi Lubnan: Rakyat Malaysia selamat