24 pelajar USIM dari Sarawak, Kedah dikuarantin

Urus setia USIM membuat semburan nyah kuman pada barangan pelajar dari Kedah yang akan dikuarantin selama dua minggu sempena sesi pendaftaran pelajar baharu hari ini. - Foto Bernama
Urus setia USIM membuat semburan nyah kuman pada barangan pelajar dari Kedah yang akan dikuarantin selama dua minggu sempena sesi pendaftaran pelajar baharu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Seramai 24 pelajar baharu Tamhidi (Asasi) Sesi 2020/2021 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Sarawak dan Kedah dikuarantin selama dua minggu susulan perkembangan semasa kes Covid-19 di kedua-dua negeri berkenaan.

Pengarah Pusat Perumahan Pelajar USIM, Mohd Salehudin Syukor berkata, pelajar berkenaan terdiri daripada lima pelajar dari Kuching dan selebihnya dari daerah Kubang Pasu di Kedah menjalani kuarantin di kolej kediaman mereka.

“Pelajar ini dipisahkan dan ditempatkan di blok kediaman yang lain, seramai tiga hingga empat pelajar sahaja kita hadkan dalam satu unit kediaman berbanding pelajar lain seramai enam orang dan mereka perlu jalani kuarantin selama 14 hari. Sekiranya ada yang bergejala, kita akan segera bawa ke hospital.

“Makanan semua kita berikan, mereka tidak dibenarkan keluar daripada unit kediaman dan akan dipantau kakitangan kolej kediaman... taaruf (orientasi) dari 3 hingga 7 Ogos dijalankan secara dalam talian termasuk pelajar yang tidak dikuarantin,” katanya kepada pemberita pada sesi Kemasukan Pelajar Baharu Tamhidi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Salehudin berkata, pada sesi kali ini, seramai 1,437 pelajar ditawarkan bagi mengikuti Tamhidi (Asasi) Sesi 2020/2021 melibatkan Jurusan Perubatan, Pergigian dan Sains; Perakaunan dan Muamalat; Syariah dan Undang-Undang dan Sains Fizikal dan Teknologi.

“Kami buat tawaran kemasukan seperti biasa tetapi kami lihat ada trend peningkatan permohonan dan mungkin atas faktor pelajar memilih untuk menyambung pengajian dalam negara berbanding luar negara susulan pandemik Covid-19,” katanya.

Mengenai sesi kuliah yang bermula 10 Ogos ini beliau berkata, sesi berkenaan dijalankan secara dalam talian dan pelajar boleh mengikuti kelas dari kolej kediaman mereka sahaja kecuali yang melibatkan penggunaan makmal.

Sesi pendaftaran hari ini dijalankan secara pandu lalu dan pelajar perlu berdaftar di aplikasi MySejahtera serta suhu badan mereka diambil sebelum dihantar ke kolej kediaman masing-masing dengan hanya diiringi urus setia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pelajar Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains, Azfar Irfan Danish Azrul Fahmee, 18, yang juga pelajar orang kelainan upaya (OKU) penglihatan berkata, meskipun banyak prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi apatah lagi tanpa diiringi ibu bapa, beliau tetap bersemangat dan cekal melakukan urusan itu sendiri.

“Walaupun sebelah mata saya tidak nampak sejak lahir tetapi ia bukan alasan untuk saya tidak patuh pada SOP demi kebaikan kita semua, begitu juga dalam pelajaran, meskipun punyai kekurangan, ia bukan penghalang untuk saya bersaing bersama rakan-rakan yang lain.

“Sekira diizinkan-Nya, saya bercita-cita untuk menjadi doktor pakar Nefrologi OKU pertama di Malaysia,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran sepanjang persekolahan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas Ulul Albab. - Bernama