X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas jurutera KTMB didakwa terima rasuah

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas jurutera awam Jabatan Pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,450 berhubung tiga projek membabitkan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter lima tahun lalu.

Tertuduh Mohd Amin Muhammad N Hushaimi, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai pegawai badan awam, iaitu jurutera awam Jabatan Pengurusan Projek, KTMB telah secara rasuah menerima suapan daripada Mohd Nizam Hasan berjumlah masing-masing RM950 dan RM500 melalui akaun Maybank Islamic milik tertuduh.

Suapan itu sebagai dorongan untuk dirinya sebagai pengurus projek untuk tidak mengesyorkan surat arahan berhenti kerja sementara ekoran faktor keselamatan di tapak projek bagi projek cadangan tambahan dan pengubahsuian pada LRT Stesen Abdullah Hukum sedia ada dan cadangan pembangunan sebuah Stesen KTM Komuter tiga tingkat di atas sebahagian tanah rizab kereta api.

Selain itu, projek lain juga berhubung cadangan pembangunan mendirikan sebuah Stesen Komuter Bersepadu Kajang 2 serta kemudahan lain antaranya pejabat pengurusan, kiosk jualan tiket, pusat penerangan pelancongan dan jejantas pejalan kaki yang berbumbung.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad di Lot No 7, 8 dan 9 Departure Hall Level 1, Kl City Air Terminal (KLCAT), KL Sentral di sini pada 15 Julai dan 14 September 2015.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun peguam Shahidah Muslimah Roslan yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin yang rendah dengan alasan tertuduh kini bekerja sendiri dengan menjual laksa selepas diberhentikan kerja.

"Tertuduh juga mempunyai tanggungan termasuk dua anak yang berumur 5 dan 7 tahun serta isteri," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sekali sebulan.

Tarikh 23 September ditetapkan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!