X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan jamin bela nasib rakyat hilang kerja di Singapura

M Saravanan
M Saravanan
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan membela nasib rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura apabila syarikat di negara itu mula melakukan pembuangan pekerja berikutan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Tenaga Manusia Singapura bagi membincangkan penyelesaian terhadap kira-kira 400,000 pekerja Malaysia di negara itu.

“Kerajaan sentiasa membela nasib setiap rakyat yang bekerja di negara lain. Bukan sahaja di Singapura memandangkan kita sedang berada dalam krisis kesihatan (Covid-19). Maka kita (kerajaan) ambil langkah positif dalam menangani isu ini.

“Mereka boleh kembali ke Malaysia dan menjalani ujian saringan Covid-19. Kerajaan akan cari jalan terbaik untuk memberi peluang mereka cari kerja,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai usaha kerajaan membantu rakyat Malaysia yang hilang mata pencarian di Singapura berikutan penguncupan ekonomi republik itu disebabkan impak pandemik Covid-19.

Mengenai usaha kerajaan mengurangkan kadar guna pekerja asing yang mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan Saravanan berkata, pengambilan golongan itu telah dibekukan dalam semua sektor bagi memberi laluan pekerjaan kepada warga Malaysia khususnya golongan muda.

Katanya, dalam tempoh enam bulan sejak Malaysia dilanda pandemik Covid-19, negara berjaya mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing apabila statistik menunjukkan pada Januari lepas, jumlah tenaga kerja asing di negara ini adalah 1.98 juta namun menunjukkan penurunan pada Mei iaitu 1.54 juta.

“Situasi itu menunjukkan kerajaan komited dan prihatin. Kita akan beri peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini untuk isi kekosongan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai usaha kerajaan mengurangkan kadar guna pekerja asing yang mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019 yang kini mencakupi aspek perumahan dan penginapan para pekerja dari semua sektor pekerjaan akan menarik minat rakyat Malaysia untuk terlibat dalam sektor yang sebelum ini didominasi pekerja asing.

Selain itu, Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga memainkan peranan untuk merangka langkah strategik dalam melindungi prestasi ekonomi dan pasaran pekerjaan Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!