Lori disyaki buang bahan kimia di Sungai Batang Labu

Lori yang disyaki membuang sisa bahan kimia di Sungai Batang Labu, Nilai malam tadi.
Lori yang disyaki membuang sisa bahan kimia di Sungai Batang Labu, Nilai malam tadi.
A
A
A

NILAI - [DIKEMASKINI] Sebuah lori yang disyaki membuang sisa bahan kimia di Sungai Batang Labu, berhampiran Pekan Nilai berjaya ditahan malam tadi.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar, S Veerapan berkata, kejadian tersebut disedari apabila salah seorang Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menerima aduan daripada pengadu yang merupakan pekerja di salah sebuah kedai tekstil di situ yang curiga dengan kehadiran lori berkenaan di kawasan tersebut kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, pengadu telah merakam perbuatan beberapa lelaki yang disyaki membuang bahan sisa terjadual secara haram ke dalam longkang monsun yang mengalir ke Sungai Batang Labu di belakang kedainya pada tengah malam.

"Sebaik sahaja melihat perbuatan mencurigakan itu, pengadu memaklumkan kepada Ahli Majlis MBS yang seterusnya membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan.

"Sampel air sungai tersebut telah diambil untuk pemeriksaan lanjut dan laporan mengenai kejadian itu turut dimaklumkan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor untuk tindakan susulan berikutan air sungai tersebut mengalir ke kawasan Selangor," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, melalui maklumat yang diterima, bahan petroleum tersebut telah mengalir sehingga ke Loji Air Labu dan operasi pam air di kawasan itu telah dihentikan pada jam 12.55 pagi.

Dalam pada itu, Loji Air Salak Tinggi berada dalam keadaan bersedia untuk ditutup operasi bergantung kepada keadaan air yang mengalir ke kawasan itu.

"Kita masih menunggu laporan penuh daripada JAS bagi mengenal pasti bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai tersebut, jika benar berlaku pembuangan sisa kimia kita akan ambil tindakan terhadap pihak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat mengenai syarikat dan individu terlibat sudah pun diperolehi berdasarkan maklumat awal oleh pengadu dan tindakan lanjut akan diambil sebaik sahaja laporan penuh siap," katanya.