MATA lancar Fam Trip rancak promosi Cuti-Cuti Malaysia

Sky Mirror antara tarikan menarik di Kuala Selangor.
Sky Mirror antara tarikan menarik di Kuala Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) melancarkan program Familiarisation (Fam) Trip bagi merancakkan promosi Cuti-Cuti Malaysia dalam kalangan penggiat industri pelancongan.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, program itu bertujuan memberikan maklumat terkini berkaitan produk pelancongan yang terdapat di negara ini.

Menurutnya, selain itu MATA ingin membantu ahli-ahli terdiri daripada agensi pelancongan terutama kepada pelancongan ke luar negara (outbound) sebelum ini.

"Dengan cara ini ia dapat memberikan mereka idea untuk membuat pakej pelancongan dalam negara yang sekali gus dapat merancakkan semula industri pelancongan domestik.

"Ini selaras dengan garis panduan yang terdapat dalam United Nations World Tourism Organisation (UNWTO) Global Guidelines to Restart Tourism 2020," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, pelancongan adalah industri yang paling terkesan disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19) dan memandangkan ia memberikan pulangan sebanyak 15 peratus kepada KDNK Malaysia serta menjadi sumber pekerjaan kepada lebih 20 peratus jumlah guna tenaga negara, maka menggerakkan semula sektor itu dengan kadar segera adalah sangat signifikan.

Blue Tears yang menjadi tumpuan pelancong di Kuala Selangor.
Blue Tears yang menjadi tumpuan pelancong di Kuala Selangor.

Katanya, FamTrip yang dilancarkan itu mendapat kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan antaranya dari Tourism Malaysia, Tourism Melaka, Tourism Terengganu, dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu juga pemilik produk pelancongan juga banyak membantu dalam memastikan program ini berjalan dengan lancar antaranya Sky Mirror di Kuala Selangor.

"Tidak ramai tahu Sky Mirror yang terkenal di Brazil terdapat di Kuala Selangor dan Blue Tears yang popular di Fujian China juga ada di daerah ini.

"Oleh itu adalah penting untuk kita memperkenalkan produk-produk ini kepada penggiat industri pelancongan supaya dapat dipasarkan dengan sewajarnya," katanya.

Mohd Khalid berkata, program Fam Trip akan diadakan pada setiap bulan bermula Ogos ini dan akan disertai ahli MATA yang terdiri daripada pemilik agensi pelancongan serta rakan media.