Anwar gesa kerajaan kaji pendekatan terbaik bantu bumiputera

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dasar yang hanya memberi manfaat kepada golongan elit dan ahli politik perlu dihapuskan bagi mengelakkan semua rancangan kerajaan untuk membantu bumiputera gagal.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan digesa mengkaji semua pendekatan terbaik bagi membantu golongan bumiputera dengan perancangan yang perlu dilaksanakan secara bersasar.

Menurutnya, kerajaan harus menumpukan perhatian untuk merancakkan lapangan-lapangan utama ekonomi dan memberikan dukungan secukupnya kepada perusahaan kecil dan sederhana.

"Di Parlimen hari ini (semalam), saya mendesak kerajaan untuk menyiasat dan mendedahkan bagaimana berbilion saham dan tanah bumiputera telah hilang lantaran ketirisan dan bocor kepada individu-individu tertentu yang tidak bertanggungjawab.

"Siapakah penerima saham bumiputera selain yang diperuntukkan untuk badan-badan bumiputera? Apakah kedudukan terkini tanah rizab Melayu yang telah dijual dan tidak diganti?

"Kebijakan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dan kumpulan minoriti lain dalam ekonomi serta industri hanya boleh dicapai dengan baik melalui pelaburan dalam peningkatan kapasiti selain latihan kemahiran dan pendidikan," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Anwar yang juga ketua pembangkang turut menegaskan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti dikendalikan oleh tokoh-tokoh profesional yang berkelayakan manakala kedudukan pengurusan kanan pula tidak boleh ditentukan berdasarkan kecenderungan politik.

"Dalam usaha Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) membantu golongan yang benar-benar berkelayakan dan mereka yang terpinggir, saya menggesa kerajaan untuk segera menjalankan kajian yang bebas dan inklusif mengenai punca sebenar mengapa sebahagian besar kaum bumiputera masih terus menderita dan melarat meski diperuntukkan dana ekonomi dan pendidikan yang sangat besar kepada mereka untuk beberapa dasawarsa yang lalu," katanya.

Artikel Berkaitan: