Perhalusi cara tangani wabak Rabies

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan memperhalusi cara menangani wabak rabies atau anjing gila yang kian serius di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata sudah tiba masanya pendekatan baharu perlu diambil bagi menangani masalah tersebut memandangkan ia telah meragut banyak nyawa.

“Justeru, lawatan kerja saya ke Sarawak ini adalah untuk berbincangkan hal berkaitan dengan wabak Rabies disamping mencari langkah segera memeranginya bersama-sama dengan Timbalan Ketua Menteri serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada keesokan hari,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan Lawatan Kerja ke Klinik Gigitan Anjing Dan Wad Pengasingan Penyakit Berjangkit di Hospital Umum Sarawak di sini, hari ini.

Setakat ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak pengisytiharan wabak itu pada 1 Julai 2017 sehingga 18 Jan 2019 adalah 17 kes termasuk 16 kematian.

Mengulas lanjut mengenai status terkini pembinaan Hospital Petra Jaya, Lee berkata proses tender sudah dibuat dan pembinaan akan disambung selewat- lewatnya menjelang pertengahan tahun ini.

“Kementerian ambil maklum mengenai permasalahan dan kesesakan yang di hadapi oleh Hospital Umum di bandar utama di seluruh negeri ini.

“Oleh itu, Kementerian berusaha untuk mempercepatkan mana-mana projek hospital dan klinik-klinik di negeri ini bagi mengatasi kesesakan yang dihadapi sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata, pembinaan Klinik Tabuan Jaya dan Klinik Siburan juga turut akan dimulakan pada tahun ini manakala Klinik Serian pada tahun hadapan, dengan kos pembinaan masing-masing berjumlah RM30 juta dan RM40 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: