X

Kindly register in order to view this article
!

Tindakan KFA cetus persoalan

Foto: FB Kedah FA
A
A

TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menyelesaikan tunggakan gaji skuad Lang Merah bagi bulan Mac sebelum 15 Ogos ini masih menimbulkan persoalan dalam kalangan pemain serta pegawai pasukan.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau dan para pemain skuad Lang Merah masih tertanya-tanya status berhubung tunggakan gaji mereka bagi bulan April, Mei, Jun dan Julai.

“Alhamdulillah, sebanyak 60 peratus daripada gaji Mac akan dibayar sebelum 15 Ogos ini. Tetapi kenapa tidak boleh dibayar lebih awal? Selain itu, bilakah pula perbincangan untuk pembayaran (tunggakan) gaji bulan lain pula?

“Bulan bila pula nak bincang? Sebelum liga bermula atau selepas liga bermula? Ini persoalan yang sangat penting kerana saya serta pemain-pemain perlu tahu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan mewujudkan Jawatankuasa Khas Kewangan bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain Lang Merah bagi April, Mei, Jun dan Julai.

“Pihak pengurusan (KFA) komited dan akan melunaskan tunggakan gaji secara berperingkat. Jawatankuasa Khas Kewangan diwujudkan bagi mencari kaedah terbaik dalam situasi ‘menang-menang’ kedua-dua pihak.

“Tunggakan April, Mei, Jun dan Julai akan dimaklumkan penyelesaiannya setelah rundingan mengenai pembayaran dilakukan dalam masa terdekat,” katanya menerusi satu kenyataan media semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah memberitahu, KFA memerlukan sekurang-kurangnya bajet berjumlah RM25 juta untuk melengkapkan kos operasi dan pengurusan skuad Lang Merah musim ini.

“Jawatankuasa Khas Kewangan yang ditubuhkan ini juga akan berfungsi untuk mendapatkan penajaan baharu dengan berunding segera dengan bakal penaja baharu.

“Punca masalah dana penajaan tertunggak sebelum ini adalah disebabkan oleh pelaksanaan tanggungjawab secara one man show dalam soal penajaan, pengurusan kewangan, penentuan gaji pemain dan pengurusan pasukan.

“Tindakan drastik penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan adalah bagi mengatasi beban hutang sejak September 2019. Malah, jumlah tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat ini adalah RM3.8 juta dan perlu diselesaikan segera.

“Ahli Jawatankasa Eksekutif diberi peranan lebih besar kini untuk memikul tanggungjawab bagi mengurus dan meneroka kaedah membawa penajaan baharu dan KFA kini memerlukan minimum RM25 juta untuk melengkapkan operasi dan pengurusan pasukan pada tahun 2020,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!