Keluarga Allahyarham Muhammad Adib, peguam enggan komen

Ibu bapa Allahyarham Adib, Asma dan Mohd Kassim Abdul Hamid tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini.
Ibu bapa Allahyarham Adib, Asma dan Mohd Kassim Abdul Hamid tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim enggan mengulas mengenai cadangan untuk mendakwa semula 12 suspek yang didakwa membunuh anggota bomba berkenaan.

Ibunya, Asma Aziz, 53, berkata, mereka tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara yang diperincikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin buat masa ini.

“Saya tidak tahu apa-apa. Saya tidak boleh cakap apa-apa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Sementara itu di SHAH ALAM, peguam Syazlin Mansor yang mewakili keluarga anggota bomba itu juga enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung cadangan kerajaan untuk menyelesaikan kes tersebut.

“Maaf saya tidak dapat memberikan sebarang komen. Bukan tidak mahu bantu tetapi belum lagi,” katanya.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan kertas siasatan kes kematian Muhammad Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).

Cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara dan akan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 339(2) Kanun Tatacara Jenayah.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 26 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan dua atau tiga individu tidak diketahui.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 13 Julai lalu dilaporkan berkata, tiada saksi dipanggil memberi keterangan benar-benar melihat Muhammad Adib dipukul.

Abdul Hamid berkata, semua keterangan yang diperoleh pihaknya bersifat dengar cakap dan pendapat.

Bagaimanapun, katanya, usaha mengenal pasti pelaku jenayah masih dijalankan.