Selesaikan dulu tunggakan gaji pemain

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

SETIAP pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang bersaing dalam Liga Super dan Liga Premier tidak dibenarkan beraksi pada musim depan sekiranya gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain masing-masing pada musim ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM juga akan meneliti status kewangan kesemua 24 pasukan Liga-M sebelum badan induk itu dapat mengeluarkan lesen kebangsaan kepada mana-mana pasukan Liga-M.

Status kewangan berkenaan meliputi tunggakan gaji serta tunggakan hutang dengan agensi kerajaan sama ada melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Kebiasaannya tindakan adalah daripada FAM sendiri, namun ia akan memberi kesan kepada proses pelesenan sesebuah pasukan pada musim hadapan.

"Sekiranya sesebuah pasukan itu masih ada hutang yang belum diselesaikan pada tahun ini, ia akan beri kesukaran kepada mereka untuk mendapatkan lesen kebangsaan pada tahun hadapan,” katanya baru-baru ini.

Kedah dan Kelantan berdepan situasi getir menjelang proses penswastaan Liga-M pada musim depan kerana dilaporkan masih gagal melunaskan tunggakan gaji pemain masing-masing.

Semalam, FAM mengambil tindakan tegas dengan melaksanakan pemotongan tiga mata ke atas Kelantan dalam saingan Liga Premier susulan kegagalan Persatuan Bola Sepak Kelantan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Stuart memaklumkan beberapa pasukan Liga-M kini sedang giat untuk melaksanakan proses pemisahan status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC), menjelang penswastaan Liga-M pada tahun.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan FAM tidak akan melanjutkan tempoh permohonan proses pemisahan itu yang akan berakhir pada bulan hadapan memandangkan ia sudah dimaklumkan oleh badan induk berkenaan kepada pasukan Liga-M sebelum ini.

Stuart sebelum ini mendedahkan empat pasukan Liga-M telah melengkapkan proses penswastaan kelab, manakala 12 pasukan lagi sedang melaksanakan proses pemisahan status FA kepada FC.

Penswastaan kelab dilihat mampu memperbaiki aspek pengurusan pasukan selain antara alternatif terbaik kepada kemelut kewangan dihadapi pasukan sehingga menjejaskan proses pembayaran gaji pemain akibat kebergantungan kepada dana kerajaan negeri.