Pemandu lori tangki maut, rempuh lima kenderaan

Kemalangan di Kilometer 145 Jalan Lanchang-Temerloh petang tadi meragut nyawa pemandu lori tangki.
Kemalangan di Kilometer 145 Jalan Lanchang-Temerloh petang tadi meragut nyawa pemandu lori tangki.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMASKINI] Seorang pemandu lori tangki maut selepas lori yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh lima kenderaan lain sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter dan terbakar dalam kejadian petang tadi.

Kemalangan kira-kira jam 5.30 petang di Kilometer (KM) 146 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Kem Batu 5 itu turut menyebabkan sebuah rumah berhampiran kawasan nahas terbakar dan musnah.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, mangsa, Hairulnezam Ahmad, 50, yang beralamat di Felda Sungai Nerek, Temerloh meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dalam lori jenis Hino terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori terbabit dari arah Klang ke Temerloh itu hilang kawalan lalu merempuh lima buah kenderaan iaitu Perodua Kelisa, tiga Proton Wira dan van Mazda yang diparkir di tepi jalan sebelah kiri.

"Ketika kejadian, tiada penumpang dalam kesemua kenderaan terbabit manakala lori tidak membawa muatan.

"Kejadian menyebabkan kereta Kelisa terbakar manakala kereta Proton Wira terbakar dan terjatuh ke dalam gaung dan dua lagi kereta Proton Wira rosak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, van pula mengalami kerosakan teruk dan rumah yang terbakar tiada penghuni.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk proses bedah siasat dan punca kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan: