Kerajaan sedia tambah baik akta berkaitan media

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menambah baik atau meminda akta berkaitan media sedia ada yang dilihat lemah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin berkata, ia adalah bukti komitmen kerajaan untuk menegakkan kebebasan media.

Jelas beliau, terdapat beberapa undang-undang yang bertujuan untuk memelihara keselamatan negara, menjaga hubungan baik dengan negara-negara lain, menjaga ketenteraman awam atau prinsip moral serta mengelakkan perbuatan fitnah.

“Antara undang-undang yang berkaitan dengan media adalah Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hasutan 1948, Akta Media Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hakcipta 1987,” katanya.

Mengenai tindakan terhadap dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ terbitan sebuah agensi media asing, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memulakan siasatan terhadap pemegang lesen beberapa syarikat penyiar tempatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kemungkinan kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Sementara itu, menjawab celahan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) mengenai isu antibuli siber, Saifuddin berkata, kementerian itu sedang menjalankan kolaborasi bersama SKMM, CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Universiti Multimedia (MMU) untuk menjalankan penyelidikan khusus berkaitan keperluan undang-undang antibuli siber yang dijangka selesai pada hujung tahun ini.

Katanya, terdapat beberapa undang-undang sedia ada yang diguna pakai bagi kes buli siber seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), Akta Jenayah Komputer 1997 dan Kanun Keseksaan.

“Semua undang-undang yang berkaitan boleh diguna pakai di bawah perundangan sivil dan jenayah tertakluk kepada fakta kes,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang mengkaji semula fungsi dan peranan beberapa agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dibubarkan pada Mei 2018.

Katanya, cadangan dan memorandum berkaitan penubuhan semula atau penjenamaan baharu agensi itu sedang diteliti. - Bernama