X

Kindly register in order to view this article
!

Laporan Al Jazeera ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa

Saifuddin Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - Umpama ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa’. Itu peribahasa yang digunakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bagi menggambarkan perasaan yang dirasai rakyat Malaysia tatkala petugas barisan hadapan negara dihina dalam dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia's Lockdown’ terbitan Al Jazeera.

Beliau memberi perumpamaan itu ketika menangkis persoalan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai mengapa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu pejabat agensi media antarabangsa itu hari ini.

“Saya dah jawab tadi, (isu) Al Jazeera ini ada undang-undang, ada pihak penguat kuasa (yang ambil tindakan) tetapi sebab ahli yang berhormat duk tanya-tanya, ini bukan jawapan undang-undang, ini jawapan politik saya.

“Kita harus ingat hubungan simbiosis yang sudah terjalin akibat Covid-19 antara (petugas) barisan hadapan dengan rakyat itu umpama kalau saya menyayangi orang lain, umpama saya menyayangi diri saya sendiri. Apabila ada orang asing mengusik (petugas) barisan hadapan, ini yang dalam peribahasa Melayu, cubit paha kiri, paha kanan terasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis serbu pejabat Al Jazeera

Ketika Teresa bangun semula mencelah dan mendakwa tindakan yang dilakukan ke atas Al Jazeera itu telah menjejaskan imej negara, Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota dengan tegas mempersoalkan semula kenyataan itu.

“Siapa yang menjejaskan imej negara? Dokumentari itu atau siapa? Kita ini sebagai wakil rakyat kalau nak berpolitik itu kenalah berpada-pada,” katanya.

Kehangatan suasana perbahasan itu diredakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mengingatkan ahli Parlimen supaya menjaga ketertiban di Dewan Rakyat.

“Saya nak seru sedikit, sekarang dah pukul 6.48 (petang), kita semua letih, jadi kepala pun senang naik berang. Saya rasa kita kena ada ketertiban sikit.

"Kita persilakan yang berhormat menteri menghabiskan hujahan beliau, kalau ada masalah lain, ditulis soalan itu, saya rasa mesti yang berhormat akan jawab secara jawapan bertulis," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata kementerian melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kini sedang mengemas kini, menambah baik dan memperkasakan Akta Finas 1981 (Akta 244) yang berusia hampir 40 tahun bertepatan dengan perkembangan teknologi dan ekosistem media serta trend semasa industri kreatif termasuk platform di media sosial.

Katanya, bagi mana-mana syarikat penerbitan dari luar negara yang ingin melakukan penggambaran di Malaysia, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) iaitu dengan melantik syarikat tempatan yang mempunyai Lesen Pengeluaran Filem Finas (PF) yang aktif serta sah sebagai penaja tempatan.

“Terdapat beberapa undang-undang yang ada hubungan secara langsung dan secara tidak langsung dengan bab filem. Contohnya, dokumentari. Adakah sesuatu dokumentari itu, sebenarnya dokumentari seperti tercatat dalam Akta Finas atau ia pengumpulan berita.

“Di samping itu, terdapat juga isu berkaitan hak cipta yang bukan di bawah Akta Finas tetapi di bawah Akta Hak Cipta 1987. Memandangkan isu ini kompleks, maka Jemaah Menteri telah membuat keputusan untuk meminda Akta Finas,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!