Victoria kenakan denda lebih berat

Anggota polis dan tentera melakukan rondaan di trek larian popular di Melbourne hari ini. - Foto: AFP
Anggota polis dan tentera melakukan rondaan di trek larian popular di Melbourne hari ini. - Foto: AFP
A
A
A

MELBOURNE - Ratusan individu positif koronavirus (Covid-19) di negeri paling teruk terjejas di Australia telah melanggar perintah duduk di rumah.

Kedegilan segelintir pihak menyebabkan pemerintah kini mengenakan denda lebih berat ke atas pesalah di Victoria yang kini berdepan gelombang kedua jangkitan sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Menteri, Daniel Andrews berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab kira-kira 800 individu yang gagal duduk di rumah apabila pihak berkuasa melakukan pemeriksaan sememangnya tidak boleh diterima.

Menurutnya, mereka yang positif virus itu dan melakukan kesalahan berulang boleh dikenakan denda berjumlah hampir A$5,000 (RM15,081) berbanding A$1,652 (RM4,982) yang dikenakan sebelum ini.

Polis juga boleh mengheret pesalah ke mahkamah dan dikenakan denda sehingga A$20,000 (RM60,325).

Ketika ini, penduduk di Melbourne, bandar kedua terbesar di Australia dikenakan perintah berkurung sepanjang malam, penutupan premis perniagaan tidak penting dan mewajibkan pemakaian pelitup muka berikutan ratusan kes jangkitan baharu direkodkan pada setiap hari.

Di bawah peraturan baharu itu, seramai 500 anggota tentera turut dikerah di Melbourne untuk membantu pegawai kesihatan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

Lebih 160 denda telah dikenakan ke atas individu yang melanggar peraturan tersebut sejak 24 jam lalu.

Artikel Berkaitan:

Victoria telah merekodkan lebih 12,000 daripada 19,000 kes jangkitan Covid-19 dan 147 daripada 232 kematian di seluruh negara. - AFP