Bayern beri laluan kepada Chelsea

Havertz antara pemain yang menjadi tumpuan beberapa kelab gergasi Eropah.
Havertz antara pemain yang menjadi tumpuan beberapa kelab gergasi Eropah.
A
A
A

JUARA Bundesliga, Bayern Munich seakan-akan mahu memberi laluan kepada Chelsea dalam pemburuan Kai Havertz apabila mengesahkan tidak akan membida bintang muda Bayer Leverkusen itu.

Kelab Jerman itu menegaskan, tiada sebarang perpindahan besar pemain pada musim panas ini setelah mereka mendapatkan khidmat Leroy Sane dari Manchester City dengan nilai 4.4 juta pound (RM24.2 juta) bulan lalu.

“Saya yakin selepas kelab merekrut Leroy Sane, tidak akan ada lagi pelaburan besar bagi mengharungi saingan musim depan. Ingin saya tegaskan perkara ini tidak ada kaitan dengan kualiti Havertz.

“Dalam tempoh wabak Covid-19 dan selepas membeli Leroy Sane, saya tidak dapat membayangkan untuk membuat pembelian lagi kecuali kami mendapat pembiayaan semula melalui penjualan pemain,” kata Presiden Bayern, Uli Hoeness.

Chelsea kini dilaporkan ‘bersendirian’ dalam memburu khidmat Havertz pada musim panas ini setelah terdapat laporan menyatakan Manchester United dan Real Madrid juga akan menarik diri.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Leverkusen yakin pemain skuad kebangsaan Jerman berusia 21 tahun itu akan kekal bersama skuad Die Werkself bagi mengharungi baki kempen Liga Europa bulan ini.

Bagaimanapun, terdapat juga laporan Havertz mahu menyelesaikan segera proses perpindahannya ke Stamford Bridge dengan nilai 90 juta pound (RM496.1 juta).

“Saya banyak bercakap dengan Kai sejak beberapa minggu lalu dan cuba menyelami isi hatinya ketika ini. Saya perlu tahu apa yang sedang difikirkan Kai kerana banyak khabar angin mengenai masa depannya.

Artikel Berkaitan:

“Saya mendapati Kai berjaya menangani semua perkara ini dengan sangat baik. Saya tahu apa yang dia mahu lakukan, tetapi tentu saja saya tidak akan memberikannya, itu terserah kepadanya,” ujar pengendali Leverkusen, Peter Bosz.

Ketika ditanya bilakah tarikh akhir Leverkusen dapat mencapai kata sepakat dengan Chelsea, Bosz memberitahu: “Saya tidak dapat menjawab dengan lengkap pertanyaan itu. Mungkin panggilan penting itu akan datang hari ini, mungkin minggu depan atau mungkin tidak sama sekali.”